Monday 30 September 2013

AIN FARAH INSYIRAH Aku Punya!!! Bab 19


“Kita nak buat apa kat sini Ain?”. Soal Tengku Zahran sebaik saja memarkir keretanya di hadapan sebuah pusat beli belah terkenal. Matanya memandang bangunan pusat beli belah itu dengan penuh tanda tanya.

Shopping”. Jawab Ain selamba. Tangannya menekan butang untuk menanggalkan tali pinggang keselamatan.

“Hah, now?”. Tengku Zahran pantas berpaling memandang Ain. Rasa sebal mula menguasai diri. Inilah yang malasnya bila dengan perempuan kerja lain takde asyik nak shopping! Shopping! shopping! Sebijik macam perangai umi dan Tengku Zafirah. Takde ke benda lain dalam kepala orang perempuan ni selain daripada menghabiskan duit? Tengku Zahran membebel dalam hati. Macamlah dia jenis orang yang berjimat cermatlah sangat. Pada`hal dia sendiri pun kalau dah shopping usah ditanya berapa nilai yang telah dibelanjakannya.

“Cepatlah..”

Shopping? Tak naklah. Saya takde mood nak shopping hari ni”. Tengku Zahran tayang muka sebal.

“Siapa kata nak shopping. Saya main-main jelah. Saya pun takde hati nak shopping hari ni. Saya cuma nak bawa encik ke satu tempat untuk kita release tension”. Terang Ain senyum lebar.

“Kat mana?”

“Ikut jelah. Tapi sebelum tu…tanggallah jaket tu dulu”

“Kenapa nak kena tanggalkan”. Soal Tengku Zahran sambil menanggalkan jaket yang tersarung di tubuhnya.

“Encik ni banyak tanyalah. Tanggal jelah. Nak masuk tempat ni tak payahlah formal sangat. Nampak sangatlah escape kerja”. Ain turut membantu Tengku Zahran menyangkutkan jaket itu di belakang kerusi Tengku Zahran.

“Nak saya tanggalkan semua ke”. bisik Tengku Zahran hampir ke telinga Ain. Ain tersentak lalu teruk menjarakkan dirinya. Tersirap darahnya naik ke kepala mendengar sebaris kata itu.

“Cubalah kalau nak rasa penumbuk saya. Mengada-ngada”. Tengku Zahran bantai gelak. Seronoknya mengusik gadis ini. Mak oii, garangnya bukan main! Siap nak penumbuk lagi. Agaknya dia ada tali pinggang hitam kut? Ni lelaki ke perempuan? 

Ain bengang. Pantas dia keluar dari kereta itu meninggalkan Tengku Zahran. Tak senonoh. Karang ada juga orang yang aku tinggalkan sorang-sorang kat sini. Aku lari pusing satu shopping complex ni nanti, main aci liganlah jawabnya. Baru padan dengan muka.

Tengku Zahran terdiam sebaik saja melihat Ain melulu keluar. Pantas dia mematikan suis penyaman udara dan enjin kereta itu lalu turut bergegas keluar.

“Ain! Ain!”. Tengku Zahran memanggilnya. Namun panggilan itu langsung tidak dihiraukan. Malah semakin laju kaki Ain melangkah ke hadapan. 

Tengku Zahran mulai panik. Dia tidak mahu Ain pergi meninggalkanya begitu saja.  Dia yang bertanggungjawab membawa Ain ke tempat itu dan dia jugalah yang harus bertanggungjawab untuk memastikan Ain selamat sampai ke rumahnya. Tengku Zahran terus bergegas untuk mendapatkan Ain. Tidak sukar baginya mengatur langkah untuk mendapatkan gadis itu kerana ketinggiannya memberinya langkah yang panjang. Pantas saja lengan kiri Ain dipaut sebaik saja dia menghampiri gadis itu.

“Ain..please..jangan tinggalkan saya. I’m sorry okay. Really, really sorry. I don’t means to hurt you”. Pinta Tengku Zahran. Dia sudah pun berdiri di hadapan Ain. Dekat dan sangat dekat! Matanya memandang tepat ke arah mata gadis itu. MasyaAllah! Barulah Tengku Zahran tahu, Ain memiliki sepasang mata yang cantik berwarna hazel. Berdiri di bawah sinaran cahaya matahari jelas menyerlahkan warna bebola mata itu. MasyaAllah inilah bezanya antara dia dan Farah. Farah mempunyai sepasang bebola mata berwarna coklat tetapi bukan hazel seperti Ain. Tengku Zahran terpegun.  Seketika mereka saling berpandangan. Ain pula terpaku memikirkan aksi mereka yang tak ubah seperti hero dan heroin dalam cerita filem Hindustan. Apa dah jadi ni? Macam orang tengah shooting buat drama je. Ain benar-benar tidak menyangka mereka akan jadi seperti ini.   

Ain cuba melepaskan lengannya dari cengkaman Tengku Zahran tetapi tidak berjaya. Kuatnya cengkaman Tengku Zahran sama seperti kali pertama Tengku Zahran melakukannya dalam insiden lif yang lalu. Dia ni nak pecahkan tulang aku ke apa? Taulah badan awak tu tough tapi tak perlulah nak pegang sekuat itu.

“Saya takkan lepaskan lengan Ain selagi Ain tak maafkan saya”.

“Iyelah saya maafkan awak. Cepat lepaskan lengan saya. Malu orang tengok tau tak. Tak senonoh betullah encik ni”. Ain membuntang matanya. Perlahan-lahan Tengku Zahran melepaskan pegangannya. Takut juga kalau-kalau Ain terus lari sebaik dia melepaskan pegangannya.

“Betul ni awak maafkan saya?”. Tengku Zahran memohon kepastian. Dia sudah tidak kisah Ain nak kata apa pun mengenai dirinya. Nak mengutuk sekalipun Tengku Zahran tidak kisah. Janji dia mendapat kemaafan daripada Ain. Kerana kemaafan itu terlalu bererti buat dirinya.

“Iyeee tapi dengan satu syarat”

“Syarat? Apa dia”. Berkerut dahi Tengku Zahran memandangnya. Mintalah apa-apa saja. Aku sanggup tunaikannya. Jangan minta aku beli shopping complex ni sudahlah.

“Belanja saya makan aiskrim tapi bukan sekarang. Tunggu lepas kita habis main nanti”. Tengku Zahran tergelak kecil. Comelnya melihat sikap Ain yang nampak keanak-anakan itu. Ingatkan apalah benda yang nak diminta. Rupa-rupanya sekadar nak makan benda tu aje. Kalau setakat nak makan aiskrim, satu tong aiskrim pun dia tak kisah. Nak beli buat koleksi kat rumah pun takpe. Beli dengan peti ais sekali pun takde masalah. Tengku Zahran menarik nafas lega.

“Main? Nak main apa?”

“Adalah. Jom nak ikut ke tak nak ni?”. Ain sudah bercekak pinggang.

“Iyelah saya ikut”. Tengku Zahran mengukir senyuman manis.

“Belanja saya makan aiskrim tau”. Tukas Ain sewaktu mereka mula menapak masuk ke bangunan pusat membeli belah itu.

“Iye cik adik sayang. Jangan risau. Satu kedai aiskrim tu saya boleh beli untuk awak”. Tengku Zahran terus mengukir senyuman. Ain menjeling dan bibirnya juga turut mengukir senyuman.

“Kita nak buat apa kat sini Ain?”. Soal Tengku Zahran sebaik mereka melangkah masuk ke Ampang superbowl di pusat beli belah itu.

“Dah tentulah nak main. Takkan nak shopping pulak”.

“Pakai macam ni. Ain biar betul?”. Tengku Zahran menunjuk dirinya sendiri yang masih lengkap berpakaian kerja. Tu pun kira bernasib baik jaketnya sudah pun ditanggalkan di dalam kereta tadi. Kalau tak mesti semua orang akan menganggap dia buang tabiat. Alahai, jadi anak-anak remajalah aku hari ni. Tak ada kerja main boling waktu-waktu begini. Bila kali terakhir aku bermain boling? Tak tahulah. Rasanya masa zaman remaja dulu agaknya. 

“Betul lah”

“Awak nak main dengan baju kurung macam ni?”. Tengku Zahran memohon kepastian. Matanya memandang ke arah baju kurung berwarna merah jambu dan tudung tiga lapis yang diperbuat daripada kain chiffon yang dipakai oleh Ain. Mak aii, ayunya pakaian dia nak pergi main!

“Iyalah. Kenapa? Tak boleh? Encik yang nak main ni guna tangan je kan. Bukannya nak guna kaki pun”. Jawab Ain dengan riak selamba. Tengku Zahran membuntang mata. Ain ni kalau bab-bab menjawab memang menanglah kat dia sorang. Tu belum masuk bab bergaduh dengan orang. Boleh dapat pingat rasanya.

“Nak main ke tak? Kalau tak nak main, duduk ajelah tunggu saya habis main dua tiga set nanti”

Takde kerja saya nak duduk tunggu awak berjam-jam. Saya nak main sama”. Jawab Tengku Zahran tak nak mengaku kalah. Buat malu saja kalau dia hanya duduk terperap melihat gadis itu bermain.

“okey. Jom kita lawan. Tengok siapa lebih hebat tapi sebelum tu..kalau lepas ni saya kena marah dengan mana-mana bos sebab main waktu berkerja, Encik tanggung tau”.  

“Awak jangan bimbang. Takkan ada mana-mana bos pun yang akan marah pada awak atas semua yang telah berlaku hari ini. Trust me”. Tutur Tengku Zahran penuh yakin. Ain tersenyum manis mendengar jaminan yang telah diberikan. Jangan aku dibuang kerja gara-gara buat kerja gila hari ini sudahlah, desis hatinya. Mereka kemudian pergi ke kaunter untuk berurusan mengenai pembayaran dan sewa kasut.

Setelah mengenakan kasut yang dikhaskan untuk permainan itu, Tengku Zahran mengambil bola boling seberat 14 pound. Dia kemudiannya berdiri di hadapan lorong lalu memandang ke arah kesemua pin yang tersusun di hujung lorong tersebut. Ikutkan hati malasnya nak bermain tapi takkan nak mengaku kalah begitu saja.  Dengan perempuan pulak tu.

“Encik, reti main ke?”. Ain tersenyum sinis memandang Tengku Zahran. Seronok dia melihat gaya seorang lelaki yang lengkap berpakaian kerja hendak memulakan balingan.

“Jangan pandang orang sebelah mata okey”. Balas Tengku Zahran. Bibirnya cuba untuk menyembunyikan senyuman.

“Eleh, confidentnya. Balinglah nak tengok boleh ke tak”. Ain terus tersenyum memerhati gelagat Tengku Zahran. Tengku Zahran menjungkit sebelah keningnya. Senyuman Ain seolah-olah mencabar kemampuan dirinya. Ah, tak boleh jadi ni! Aku takkan kalah dengan hanya seorang perempuan. Tanpa menunggu lama, dia memulakan balingan untuk kali yang pertama. Entah dimana silapnya, bola itu masuk ke dalam longkang ketika menghampiri kesemua pin yang masih tersusun dihujung lorong. 

Ain ketawa berdekah-dekah sebaik melihat bola itu masuk ke dalam longkang. Tak berhenti-henti dia ketawa melihat wajah kelat Tengku Zahran. Tulah confident konon. Bajet bagus sangat!

Tengku Zahran bengang melihat Ain tak henti-henti ketawa. Seronoklah tu dapat ketawakan orang. Tengoklah nanti. Aku akan tunjukkan kehebatan aku dalam permainan ini. Tengku Zahran membuka butang di kedua belah lengan bajunya. Lengan bajunya itu kemudian dilipat perlahan-lahan hingga ke paras siku. Ain yang sibuk ketawa sepuasnya terus terdiam tatkala melihat Tengku Zahran melipat lengan bajunya. Lelaki itu tersenyum senget. Menyerlah ketampanan dan ketrampilannya sebagai seorang lelaki. Ain akui jika diamati, Tengku zahran memang mempunyai daya tarikannya yang tersendiri. Seketika Ain terpaku.

“Iyelah..seronoklah tu dapat ketawakan orang”. Tengku Zahran tunjuk mimik muka tak puas hati. Merajuklah tu. Ain menghampiri Tengku Zahran yang sudah pun mengambil bola yang telah digunakannya tadi.

“Encik, kalau nak main benda ni, kena fokus betul-betul. Tengok sana..” Ain yang sudah pun berdiri di sisi Tengku Zahran menunding jari ke arah susunan pin yang ada di hujung sana. Hampir saja bahu mereka bersentuhan antara satu sama lain. Kedua pasang mata itu  memandang ke arah sepuluh pin yang tersusun membentuk segitiga.

“Encik kena cuba bayangkan pin yang ada di depan tu adalah orang yang paling encik tak suka dan encik rasa nak marah sangat. So, tumpukan perhatian dan kumpulkan kekuatan. Lepas tu balinglah sekuat-kuatnya”.  Sambung Ain lagi.

“Kiranya macam orang nak lepas geramlah ni”. Tengku Zahran mengerling si gadis di sisinya. Sempat lagi matanya tertancap ke arah sepasang mata berwarna hazel yang cantik milik si gadis.

“Lebih kuranglah”. Jawab Ain sambil tergelak kecil. Dia kemudiannya menjarakkan dirinya untuk memberi ruang kepada Tengku Zahran membuat balingan.

“Okey, saya cuba. Just wait and see, my dear”. Tengku Zahran mula menumpukan perhatiannya. Kali ini dia ingin pastikan balingannya membuahkan hasil. Sedetik ingatannya mengimbau kembali segala yang telah berlaku antara dia dan Elina. Gadis yang pernah melukakan hatinya dan menganggu hidupnya. Argh, memang patut Elina dibayangkan berada di hujung sana. Nasib kaulah Elina. Menjadi mangsa bayangan aku dalam permainan ini. Tengku Zahran membuat balingan. Kali ini Tengku Zahran berjaya menjatuhkan kesemua pin itu.

“Yess!”. Tengku Zahran berpaling  dan menggoncang kedua belah tangannya tanda berpuas hati. Sempat lagi dia mengenyit mata memandang Ain yang berdiri terpaku tidak jauh darinya. Ain tersentak. Reaksi Tengku Zahran membuatkan jantungnya hampir luruh jatuh ke lantai. Bibirnya mengukir senyuman walaupun senyuman itu terasa kaku sebenarnya.

“Sekarang giliran awak pulak”. Tengku Zahran menghampiri Ain. Ain mengambil bola seberat 10 pound untuk memulakan balingannya. Cukuplah setakat 10 pound saja. Karang kalau ambik yang berat dengan aku-aku pulak melayang sekali masuk ke lorong itu. Ain menapak ke hadapan lorong. Tengku Zahran hanya diam memerhati. Seorang gadis ayu berpakaian sopan akan memulakan permainannya sebentar lagi.

Ain menumpukan perhatiannya pada pin-pin yang tersusun di hujung sana. Balingan pertama dibuat. Tujuh pin berjaya dijatuhkan. Balingan kedua, baki pin berjaya dijatuhkan kesemuanya.

“Yeahh!”. Ain bersorak gembira. Walaupun gagal mendapat ‘Strike’, dapat ‘spare’ pun kira hebatlah juga sama seperti Tengku Zahran. Tengku Zahran membuntang mata. Dihati dia mengagumi kehebatan gadis itu. Dengan berbaju kurung pun dia boleh bermain sebaik itu. Cayalah! Kalaulah papa tengok anak dia main macam ni punya gaya, mau terjegil jugak mata papa dibuatnya. Tengku Zahran tergelak sendiri.

“Ain selalu ke datang ke tempat macam ni”. Soal Tengku Zahran selepas membuat balingan seterusnya.

“Selalulah jugak masa study kat u dulu tapi takdelah kerap sangat”. Ain mendongak memandang skrin di atas yang memaparkan jumlah markah yang telah berjaya diraih oleh Tengku zahran.

“Ain pergi dengan siapa?”. Soal Tengku Zahran ingin tahu. Sudah terbit rasa cemburu di hati Tengku Zahran. Matanya sama mendongak memandang skrin yang tergantung di atas. Yes, stakat ni aku masih mendahului permainan. Kan dah kata lelaki seharusnya lebih hebat dari kaum hawa.

“ Ain pergi dengan kawan-kawan. Selalunya kami pergi setiap kali habis exam last paper”. Ain melangkah untuk mengambil bola. Sebiji bola seberat 8 pound pula digunakan kali ni. Dah lama tak main rasa semakin tak laratlah pula nak mengangkat bola seberat 10 pound.

“Kawan lelaki ke perempuan?”. Tengku Zahran memandang Ain yang sudah mula melangkah ke hadapan lorong.

“Dua-dua!”.  Jawab Ain yang sudah pun berdiri agak jauh di hadapan lorong. Balingan dibuat dan hanya enam pin yang berjaya dijatuhkan. Sesuailah dengan berat bola yang digunakan. Tengku Zahran menarik nafas lega mendengar jawapan itu. Bibirnya pantas mengukir senyuman. Semangatnya untuk bermain dan menang dalam permainan itu semakin berkobar-kobar. Tak mungkin dia akan membiarkan dirinya kalah hanya dengan seorang insan bergelar perempuan. Menang tetap menang!

Setelah menghabiskan kesemua set permainan, Ain dan Tengku Zahran pun menukar semula kasut yang dipakai. Tengku Zahran berasa betul-betul puas dan lega. Hilang lenyap semua tekanan yang membelengu jiwanya hari ini. Apa yang dirasai kini hanyalah ketenangan, kegembiraan dan kebahagiaan. Release tension versi Ain Farah memang benar-benar meninggalkan kesan di jiwanya. 

“Lepas ni kita pergi makan tapi sebelum tu kita singgah dulu solat kat mana-mana masjid. Dah masuk waktu zohor dah ni”. Tengku Zahran sudah mengatur rancangan seterusnya.
“Kita nak makan kat mana?”. Soal Ain sambil membetulkan kasut boling ditangannya. Kasut bertumit 3 inci miliknya telah pun tersarung elok di kedua belah kakinya yang cantik itu.

“Hari ni saya nak bawa Ain makan nasi arab tempat kita makan pizza dulu tu. Nak tak”. Cadang Tengku Zahran sambil menyarungkan semula kasut kulit jenama terkenal ke kaki kirinya.

“Okay. Tak kisahlah mana-mana pun. Janji kita solat dulu”. Ain mengukir senyuman.

“Jom”. Tengku Zahran membalas senyuman itu. Mereka kemudiannya beriringan meninggalkan pusat beli belah itu.

Saturday 28 September 2013

AIN FARAH INSYIRAH Aku Punya!!! Bab 18


Sudah lebih lima belas minit Tengku Zahran dan Ain duduk di meja salah satu rangkaian Cafe  Secret Recipe yang terletak di Kepala Batas itu. Namun masing-masing diam membisu tanpa sebarang kata. Suasana premis yang lengang memberi ruang yang cukup privacy buat mereka berdua. Ditambah pula dengan kedudukan tempat duduk mereka yang agak tersorok membuatkan Tengku Zahran dan Ain tak ubah seperti pasangan kekasih yang sedang bercinta.

Bercinta? Iyalah tu. Bercintalah sangat. Macam nak berperang adalah. Tengok muka orang tu pun dah mengalahkan buah pelam yang tak masak. Ada gaya macam orang tengah berdating ke gini? Entahlah. Yang pasti Ain tidak pernah merasai istilah ‘berdating’ itu dalam erti kata yang sebenar.   

Ain kebingungan dan tertanya-tanya, bilakah ‘klien misteri’ yang akan bersama mereka sepanjang hari itu akan muncul? Siapakah klien yang dimaksudkan? Lelaki atau perempuan?

Ain memandang Tengku Zahran yang hanya duduk berpeluk tubuh tidak berkutik. Tajam pandangan mata Tengku Zahran membuatkan Ain mula resah dan gelisah. Apahal dengan Tengku Zahran ni? Pandang orang macam nak telan hidup-hidup. Taulah aku ada buat salah sebab menyibuk ambik tahu hal dia tadi tapi janganlah marah. Aku ada di situ pun kebetulan je. Dah alang-alang kebetulan tu tumpang sharelah sama. Hihihi..memang padan pun kena marah. Siapa suruh cari pasal?

Ish, tak boleh jadi ni. Kalau terus dibiarkan begini, silap haribulan sampai kedai ni tutup pun mereka akan terus menyepi.

“Encik, mana dia klien..”

“Kita takkan jumpa klien hari ni”. Belum pun sempat Ain menghabiskan kata-katanya, Tengku Zahran sudah pun mencelah.

“Hah!? Maksud Encik?”. Ain terlopong. Bulat matanya memandang Tengku Zahran. Biar betul mamat ni. Habis yang mereka duduk kat sini buat apa? Dah tu time berkerja pulak tu? Sedapnya melepak kat sini sedangkan kat ofis berlambak-lambak lagi kerja yang perlu disiapkan. Buang tabiat ke apa mamat ni? Ain semakin kebingungan. Berkerut dahinya memandang Tengku Zahran. Tengku Zahran membisu.

“Encik..”

I need a break Ain”. Kedengaran sayu suara Tengku Zahran menyentuh tangkai hati gadis di hadapannya. Kedua sikunya diletakkan di atas meja. Dia meraup wajahnya dan kemudian kedua belah tangan itu dibiarkan lama terletak di kepalanya.

Ain terkedu. Seperti tidak percaya mendengar sebaris kata yang telah diungkapkan oleh Tengku Zahran. Melihat Tengku Zahran hanya tunduk menongkat kepalanya membuatkan Ain berfikir sejenak. Berfikir mengenai cerita klien rekaan, hal mustahak dan kisah tak nak diganggu bos besar oleh Tengku Zahran. Bukan main beria benar Tengku Zahran bercakap di hadapan Norazlin tadi hingga membuatkan Ain juga hampir percaya tentang kisah klien rekaan itu. Siapa tahu klien yang dimaksudkan itu tidak wujud sebenarnya. Satu pembohongan yang langsung tidak dijangka. Tapi Ain tak salahkan Tengku Zahran kalau memang benar Tengku Zahran memerlukan ruang dan waktu untuk bersendirian. Bersendirian? Habis tu kenapa aku ada di sini? Mungkin dia memerlukan teman bicara agaknya? Takpelah aku sedia menjadi peneman kerana aku adalah seorang pendengar yang baik. Cheewah, sempat lagi masuk bakul angkat sendiri!

Simpati Ain mula tertumpah terhadap Tengku Zahran. Kasihan dia melihat wajah tegang itu buat pertama kalinya. Sekali pandang macam orang putus cinta je. Dua kali pandang macam orang kematian bini pun ada. Ain tahu dan yakin memang tak ada sebab lain yang membuatkan Tengku Zahran jadi begini. Kalau tak mana mungkin Tengku Zahran kelihatan seteruk ini. 

Mungkinkah Elina pernah melukakan dan menghancurkan hati Tengku Zahran. Sebab itulah Tengku Zahran berang bila gadis itu muncul semula. Andainya sangkakan Ain benar belaka, Elina memanglah gadis yang kurang bijak orangnya. Tidak tahu menghargai lelaki sebaik Tengku Zahran. Lelaki yang cukup lengkap pakejnya. Apa lagi yang kurangnya? Apa? Apa? Wah bertalu-talu pulak soalan cik hati macam budak sekolah buat persembahan bicara berirama. Ish, orang tengah sedih, cik hati aku melalut-lalut pulak. Ada jugak orang yang nak kena sedas dua ni nanti  Entahlah. Adakalanya manusia tidak pernah bersyukur dengan apa yang telah dimiliki. Inilah lumrah dunia.    

“Kalau macam tu kita order apa-apa dululah ye. Encik Zahran nak minum apa?”. Tengku Zahran tersentak. Matanya memandang tepat ke arah Ain. Seperti tidak percaya melihat tiada reaksi marah atau tidak senang di wajah Ain. Bukankah dia telah pun terkasar dengan gadis itu tadi?  Kenapa dia langsung tidak menyimpan perasaan marah terhadapku?    

“Apa-apa jelah”. Jawab Tengku Zahran acuh tak acuh. Dalam keadaan otak yang tengah berserabut, makan dan minum bukanlah agenda utama dia datang ke mari.

Kerenah Elina, kisah Farah dan kemarahannya yang telah dilepaskan terhadap Ain membuatkan Tengku Zahran jadi serba tak kena. Kesal, bingung dan serba salah bercampur baur. Dia sememangnya ingin menjelaskan kejadian yang telah berlaku di pejabat tadi kepada Ain. Tapi dia sendiri tidak tahu bagaimana nak memulakannya? Tengku Zahran akui, bercakap dan berbincang mengenai isu perniagaan tidaklah sesukar isu yang berkaitan dengan hati dan perasaan. Kerana Tengku Zahran bukanlah jenis lelaki yang pandai sangat nak mengayat. Sebab tu walaupun dikurniakan pakej lengkap seorang lelaki yang menjadi dambaan wanita, dia tetap mendapat gelaran Mr. Stone sewaktu di universiti dulu. Tak patut betul gelaran yang diberikan.          

“Saya order hot chocolate untuk encik nak tak? Kalau encik nak tahu, kajian telah membuktikan chocolate boleh mengurangkan stress. Masalah stress ni tak boleh dibiarkan tau. kalau dibiarkan takut nanti makan diri”. Ain memulakan peranannya seperti seorang pakar psikiatri. Macamlah Tengku Zahran mengalami masalah gangguan mental atau masalah kemurungan yang serius.

Tengku Zahran sekali lagi tersentak. Terdiam memikirkan kata-kata Ain. Dahinya berkerut. Apa maknanya tu? Bunyinya seperti dia mengambil berat tentang diriku. Betul ke dia memang mengambil berat? Atau aku yang perasan diambil berat?  

“Tak kisahlah nak order apa pun. Janji boleh minum”. Jawab Tengku Zahran bersahaja. Walaupun di hatinya terdetik rasa pelik dengan kebaikan yang Ain tunjukkan. Kenapa Ain nampak baik sangat? Ada udang disebalik batu ke? Ah, tak mungkin! Jangan fikir yang bukan-bukan Zahran. Tak baik berburuk sangka dengan orang macam tu. Orang dah buat baik. Layan ajelah. Kali ini biarlah Ain memilih menu untuk mereka berdua. Tengku Zahran ingin melihat sejauh mana Ain mengambil berat tentang dirinya. 

“Okey”. Ain tersenyum lebar lalu memanggil pelayan di premis itu. Tengku Zahran menelan air liur kelat. Melihat senyuman manis itu membuatkan jantungnya berdetup detap.

Miss, saya nak dua hot chocolates, satu slice chocolate indulgence cake dan satu slice tiramisu cake”. Ain membuat pesanan.

“Ada apa-apa lagi cik nak tambah?”. Soal pelayan itu setelah mengulangi pesanan yang telah diberikan.

“Dua mushroom soup”. Ain tersenyum manis. Wah, macam-macam nak makan ni! Semuanya berasaskan cokelat kecuali mushroom soup.  Yeah, I like. Jangan ada yang gelong lepas ni sudahlah!

Tengku Zahran hanya diam memerhati Ain berurusan dengan pelayan kecil molek itu. Seronok pula rasanya melihat Ain membuat pesanan untuk mereka berdua. Tak kisahlah Ain nak order apa pun. Tengku Zahran pasti tiada masalah untuk menjamahnya. Kerana dia bukanlah jenis orang yang cerewet mengenai soal makan dan minum. Asalkan halal dan tak pelik rupanya, Tengku Zahran pasti boleh menelannya. Sedap tak sedap belakang kira. Kalau sedap makan banyak pun takpe. Tak sedap makan sikit ajelah. Lagipun setakat menu kek dan mushroom soup yang ada di premis itu, dia sudah pun biasa menikmatinya. Cuma hot chocolate belum lagi pernah dicuba kerana dia bukannya penggemar minuman itu.

“Ada nak tambah lagi ke?”. Pelayan itu memohon kepastian. Ain menggeleng. Gadis itu tersenyum lalu pergi meninggalkan mereka.

“Encik selalu datang ke tempat ni ke?”. Soal Ain sebaik saja pelayan itu berlalu pergi. Rasanya dia perlu banyak bertanya untuk menghidupkan suasana. Dan dalam masa yang sama dia perlu membantu Tengku Zahran untuk melupakan stress yang telah dialaminya. Wah, baik punya kaunselor tak berbayar ni!

“Selalu jugaklah tapi takdelah kerap sangat”.

“Encik datang dengan siapa?”. Soal Ain spontan tanpa diduga. Arrghh, bodohnya soalan. Apalah sibuk sangat nak tanya orang datang dengan siapa? Suka hati dialah nak datang dengan siapa pun.

“Dengan awek sayalah”. Jawab Tengku Zahran selamba. Saja nak mengusik gadis yang sudah bertukar wajah kemerahan di hadapannya. Ikutkan hati, ingin saja dia ketawa semahunya melihat wajah Ain yang sudah hilang gaya. Tapi sengaja ditahan kerana dia tidak mahu merosakkan mood gadis itu.

“Hah?”. Buntang mata Ain memandang Tengku Zahran. Biar betul mamat ni? Dia dah berpunya ke? Atau sekadar teman untuk berseronok je? Kalau dia dah berpunya, tak naklah aku menghabiskan waktu di sini bersamanya. Buang masa je. Nanti tak pasal-pasal ada juga orang yang mengamuk kerana cemburu ni nanti. Eiii..tolonglah! tak kuasa aku nak bergaduh kerana seorang lelaki yang jelas tak ada kena mengena dengan aku. Balik jelah. Ain berdiri dan mengambil beg tangannya yang ada di sisi.

“Eh, awak nak ke mana tu?”. Tengku Zahran mula panik.

“Saya nak balik ke ofis. Saya tak naklah duduk kat sini. Nanti tak pasal-pasal ada juga orang jealous kalau nampak saya dan encik berdua kat sini”. Tak pasal-pasal ada jugak yang bertelur di dahi nanti. Tak pun ada adegan tarik tudung macam dalam drama petang-petang nanti.

“Eh, janganlah. Duduklah dulu. I will explain okay. please”. Pujuk Tengku Zahran. Dia tidak mahu Ain pergi meninggalkannnya. Tika ini, dia benar-benar memerlukan Ain di sampingnya. Dia langsung tidak menyangka jawapan yang diberikan membuatkan Ain bertindak begitu. Tengku Zahran dan Ain saling berpandangan. Melihat wajah Tengku Zahran penuh mengharap membuatkan Ain rasa bersalah. Sepatutnya dia cuba memahami situasi Tengku Zahran ketika ini. Bukannya bertindak mengikut perasaan sendiri. Lagipun selama dia bekerja, Tengku Zahranlah orang yang bertanggungjawab mengambil dan menghantarnya pulang ke rumah. Perlahan-lahan Ain duduk semula.   

Thanks a lot”. Ucap Tengku Zahran. Ain mengukir senyuman. Aku akan cuba untuk menjadi peneman dan pendengar yang baik, desis hati Ain.

“Saya takde awek Ain. Kalau ada saya takkan keluar dengan Ain. Ain tau kenapa?...Sebab saya akan sentiasa jujur dengan orang yang saya sayang”.  Tutur Tengku Zahran berjeda.  Ain terkedu buat seketika. Seperti tidak percaya mendengar bait-bait kata yang telah diungkapkan. Ish, takkan aku orang yang Encik Zahran sayang. Jangan nak beranganlah.

“Iyelah tu..”. Ain buat muka seperti tidak percaya dengan apa yang telah dikatakan. Padahal hakikatnya dia rasa seperti hendak pitam mendengar ungkapan itu sebenarnya. Giler mamat poyo ni. Sekali buka mulut, jiwang habis. Nasib baiklah aku tak berguling-guling mendengar ayat power itu.

“No. I’m serious Ain. Really..really serious”. Ucap Tengku Zahran bersungguh. Dia benar-benar mengharap Ain bisa memahami maksudnya.

“Encik datang dengan siapa?”. Ain cuba mengawal keadaan. Tidak mahu kelihatan gabra di hadapan Tengku Zahran. Walaupun di hatinya hanya Tuhan saja yang tahu. Boleh luruh jantung dibuatnya.

“Saya datang dengan adik saya. Dia memang hantu kek. Suka sangat makan kek kat sini. Semua kek kat sini dah habis dia cuba. Lagi satu lagsane. Tu pun dia suka sangat makan kat sini”. Terang Tengku Zahran panjang lebar.

“Adik encik lelaki ke perempuan?”. Soal Ain ingin tahu.  Kalau perempuan seronoknya. Boleh berkenalan. Boleh jadi geng sebab Ain pun suka makan kek dan lagsane kat sini.

Same as you”. 

“Wahhhh, seronoknya! Bolehlah nanti saya berkenalan tapi..kenapa encik tak pernah pun bagitau saya yang encik ada adik perempuan sebelum ni?”.

“Dah Ain tak pernah tanya”.

“Nak tanya apa? Takkan saya nak menyibuk tanya semua pasal keluarga encik. Tanya adik lepas tu mak ayah, lepas tu tok wan tok nek macam orang nak merisik. Buat malu je”. Marah Ain manja. Tengku Zahran tergelak kecil. 

Okay, okay! Sorry, sorry! Lepas ni saya janji Ain akan tahu lebih banyak mengenai saya dan keluarga saya“. Ain terpaku. Janji itu membuatkan akalnya mati serta merta. Wajahnya pantas diserbu rasa panas. Nasib baiklah tika dan saat itu pelayan tadi datang semula membawa menu yang telah diminta. Fuhh, lega! 

“Mana satu kek untuk saya?”. Soal Tengku Zahran. Ain mengambil camca kek yang diletakkan di setiap piring kek dan menyerahkan satu kepada Tengku zahran. Tengku Zahran terkesima. Sepasang mata yang cantik milik Ain ditenung agak lama. Seketika pandangan mereka bertaut. Ain terkedu. Panahan mata Tengku Zahran bagai menikam tembus hingga ke jantung. Nampak gayanya cik jantung mengalami tekanan yang cukup hebat hari ini. Kasihan cik jantungku!

Kek ni kita sharelah ye. Pakat rasalah seorang sikit. Kek nikan rasanya lain-lain. Makan serba sikit boleh rasa dua-dua”. Tutur Ain cuba berlagak selamba. Kali ini Tengku Zahran pula yang terkedu. Sepertinya dia sedang bermimpi mendengar perkataan share keluar dari mulut comel gadis itu. Sedetik ingatan terhadap Farah bertamu di mindanya. Ain tak ubah seperti Farah. Suka berkongsi makanan dengannya. Setiap kali Tengku Zahran keluar makan dengan arwah Farah dulu, Semua makanan akan dikongsi bersama. Dah tu minta pula macam-macam. Sudahnya nanti Tengku Zahranlah yang akan menjadi mangsa untuk menghabiskannya.

Kini kisah lama berulang kembali. Bersama insan yang berbeza dengan raut wajah yang serupa. Lembutnya bicara Ain menyusuk ke dasar hati. Bagaikan kelihatan sekumpulan rama-rama berterbangan mengelilingi mereka berdua. Dalam hati ada taman! Apa maknanya perasaan ini? Tengku Zahran tidak tahu. Hanya bibirnya mampu mengukir senyuman.

“Hah, senyum pun! Kan manis kalau encik selalu tersenyum. Dah, jom kita makan! Lepas ni Ain bawa Encik Zahran pergi melawat ke satu tempat”. Senyuman manis terukir di bibir Ain.  Senyuman yang membuatkan degup jantung Tengku Zahran menjadi semakin tidak menentu.

“Tempat apa?” Tengku Zahran ingin tahu. Berkerut dahinya memandang Ain.

‘Tempat untuk release tension versi Ain Farah. Dah makan cepat”. Ain memberi arahan. Bukan senang nak mengarahkan CEO di hadapannya itu.

“Saya nak Ain tolong suapkan boleh”. Usik Tengku Zahran.

“Banyak cantik muka encik. Makanlah sendiri. Dah besar pun nak orang suap lagi”. Ain sudah betukar ke mood asalnya. Seperti stesen radio bertukar siarannya. Hilang lenyap kelembutan bicaranya sebentar tadi. Tengku Zahran ketawa. Kan dah kata, kalau tak kena gaya, mesti anginnya cepat naik ke kepala. Nak ke mana agaknya dia nak bawa aku ni? Ikut jelah. Janji aku boleh menghabiskan masa bersamanya hari ini.

“Ain..”.

“Emm..”

“Boleh saya tanya sesuatu?”

“Apa dia?”

“Ain pernah tak berkongsi makanan seperti ni dengan orang lain?”

“Berkongsi dengan perempuan selalu. Dengan lelaki tak pernah”. Jawab Ain jujur dengan riak selamba. Seketika dia terdiam. Memikirkan semula jawapan yang telah diberikan. Memang benar dia tidak pernah berkongsi makanan dengan mana-mana lelaki sebelum ni kecuali Tengku Zahran. Tak usahlah ditanya kenapa dan mengapa dia berkongsi dengan Tengku Zahran? Kerana tidak semua persoalan itu ada jawapannya.

Tengku Zahran tersenyum puas. Cukuplah. Dia tidak mahu bertanya apa-apa lagi. Mendengar pengakuan Ain sudah cukup melegakan hatinya. Sekarang dia hanya ingin menikmati menu yang cukup ringkas itu bersama Ain Farah.