Saturday 29 June 2013

AIN FARAH INSYIRAH Aku Punya!!! (bab 1 - 2)

Bab 1
 Seusai mengaminkan doa selepas menunaikan solat subuh, Ain memandang jam yang tergantung elok di ruang kamarnya. Jam menunjukkan waktu itu sudah pun hampir ke pukul 6.15 pagi. Ain pantas melipat telekung dan sejadahnya. Dia perlu segera bersiap kerana hari ini ada dua tugasan penting yang harus dilakukannya. Pertama, hantar Mia Aleesya ke sekolah. Kedua, menghadiri temuduga. Temuduga untuk jawatan penasihat undang-undang di salah sebuah syarikat yang telah pun menempah nama di persada antarabangsa.

Mia Aleesya ialah anak sepupunya Zakuan yang juga merupakan jiran di sebelah rumahnya. Zakuan atau lebih glamour dengan panggilan Abang Zack ialah jiran Ain sejak 8 tahun yang lalu. Hubungan mereka cukup rapat. Sudah seperti adik beradik. Memandangkan Mahani isteri Zakuan masih lagi berpantang kerana melahirkan anak keduanya Muhammad Afiq Danial, Ain menawarkan diri untuk menghantar si comel Mia Aleesya ke sekolah sementara dia belum mula bekerja. Tidak salah rasanya menghulurkan bantuan, bukannya orang lain pun. Mereka itu saudaraku yang sudah dianggap seperti keluarga sendiri. Lagipun menghantar Mia Aleesya membuatkan aku mempunyai rutin harian. Takdelah asyik terperap aje di rumah macam perempuan melayu terakhir.

“Ain, kamu dah siap ke belum?” kedengaran suara Puan Azmah bertanya dari luar.

“Kejap, kejap, on the way!”. Wah, speaking London pulak dengan mama pagi-pagi buta! “Buat apa yang lama sangat tu?”. Puan Azmah sudah mulai risau. On the way..on the way! Apa ke benda tu? On the way tak tau..tupperware taulah. Sebab yang tu selalu dok main kutu!

“Make-up. Nak bagi lawa macam Siti Nurhaliza”. Ain sempat mengusik emaknya.

“Ish..”. Puan Azmah menggeleng kepalanya. Ada-ada saja si Ain ni nak buat lawak pagi-pagi buta.

Ain mengenakan baju kurung berwarna merah hati bercorak abstrak untuk menghadiri temuduga pada pagi itu. Orang cina kata warna merah tu membawa tuah tapi itu sekadar kepercayaan sahaja. Bagi Ain dia memilih warna merah hati kerana dia memang suka akan warna tersebut. Merah kan tanda berani. Tak kisahlah apa orang nak kata. Nak pi majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina ke? Nak kena kejar dengan lembu-lembu peliharaan si uncle Samy tu ke? Lantaklah. Janji hidup mesti happy!. Sesudah menempek sedikit bedak dan secalit gincu di bibir ,dia mengambil tudung yang tersangkut elok di tepi almari dan terus memakainya. Tudung ekspress daripada tiga lapisan kain sifon ini memang mudah dipakai dan menjimatkan masa. Terima kasih Kak Mahani kerana telah meghadiahkan tudung ekspress ini sempena hari jadiku yang ke..?? Ehem..yang pasti aku masih muda lagi. Setelah membelek-belek dirinya beberapa ketika dan rasa berpuas hati, Ain mencapai beg tangan dan juga clear holder yang mengandungi sijil-sijil yang telah diperolehnya lalu keluar meninggalkan bilik itu.

 “Mama, Mia dah sampai?”. Tanya Ain sebaik tiba di meja makan di ruang dapur. Setelah melabuhkan punggungnya, Ain mencicip sedikit air Nescafe yang telah pun di tuang oleh Puan Azmah.

“Dah. Ada kat depan tu. Awal lagi dia dah sampai. Dia tak mau masuk. Seronok sangat nak pergi dengan kamu tu”. Ain memandang ke arah pintu hadapan rumahnya. Kelihatan Mia tersenyum memandangnya.

“Kejap ye sayang. Nanti Aunty Ain hantarkan” “ Amboi..amboi..lawa anak mama hari ni?”. Puan Azmah mengusik. “Nak mengorat bos. Kenalah lawa”. Ain mengenyit mata ke arah Puan Azmah.

“Hah! Mulalah tu. Jangan nak buat perangai tak senonoh Ain”. Puan Azmah mengingatkan. Bulat matanya memandang Ain yang sedang mencicip minumannya. Ain tergelak kecil. Lucu tengok emaknya marah begitu. Macam cutelah.hihi.

 “Ain bergurau ajelah mama. Mana ada nak mengorat bos. Lagipun mana Ain tau rupa bos tu macam mana? Dibuatnya kena bos lelaki tua bangka,perut boroi..dahi licin macam buntut periuk stainless steel kesayangan mama tu, mau berguling-guling mama dapat menantu macam tu”. Tu kalau bos tu memang lelakilah. Kalau bos tu perempuan atau dua alam..hah sapa nak jawab! Puan Azmah menggeleng kepalanya. Dia sudah cukup masak dengan perangai anak perempuannya yang satu ini. Ada-ada aje jawapannya.

“Tak apelah mama. Ain pergi dulu. Doakan Ain ye mama” Ain pantas bersalaman dan mencium kedua pipi ibunya. Puan Azmah menggeleng kepala melihat Ain kelam kabut. Terkoncoh-koncoh Ain berjalan ke muka pintu.

“Yelah mama doakan Ain. Hati-hati di jalan raya. Jangan gelojoh sangat memandu kereta tu. Kereta orang tu Ain. Rosak nanti jenuh nak ganti” pesan Puan Azmah berjela.
 
“Yelah, yelah..”. Alah mama ni releklah. Ain bukannya nak bawa kereta Kak Mahani tu race kat Sepang Circuit. Bawa maintain je. Paling-paling habis meter aku tekan minyak kira oklah tu. Bukan tak biasa. Dulu semasa di kampus, aku dan roommateku pernah terjoin race motor dengan sekumpulan geng mat motor. Diorang tu bukan orang lain tapi budak satu universiti dengan aku juga. Bukan sengaja tau. ‘Ter’ tu maknanya tak sengaja okey. Kami naik motor RG Sport milik roommateku. Hebatkan roommateku pakai bawa motosikal segala masa study kat universiti. Walaupun motor tu sudah boleh masuk galeri barang-barang antik tapi masih power beb! Seperti kebiasaan, kalau kami keluar berdua, akulah yang akan menjadi penunggang tak bergaji roommateku. Tapi tak apa. Aku tak kisah pun. Janji kami enjoy! Sebelum pulang pada malam itu, kami pergi ke stesen minyak. Motosikal roommateku dan nyaris-nyaris kekeringan minyak. Memandangkan aku bawa laju dan memintas geng-geng mat motor itu di tepi jalan, maka bermulalah perlumbaan tak rasmi kami pada malam tersebut.

“Alamak, awek cun! Fuyooo, lajunya! Tak boleh jadi ni. Jom kejar-kejar”. Aku sempat menangkap perbualan antara mereka. Seisi perlumbaan sengit yang berlaku pada malam itu telah menyebabkan kami dikejar sekumpulan polis trafik yang bertugas. Namun memandangkan aku Ain Farah binti Noordin seorang yang bijak dan pandai, dengan selambanya aku terus membelok masuk ke stesyen minyak setibanya kami disitu. Memang itulah tujuan asal kami. Selebihnya yang lain terus dikejar oleh bapak-bapak polisi. Selamat bermalam di balai polis ya om.

 “Hah! Berangan apa pulak tu? Tadi bukan main kelam kabut lagi” sergah Puan Azmah mematikan lamunan Ain. “His mama ni, buat terperanjat Ain jelah. Mana ada berangan. Ain tengah menjana idea ni”

“Iyelah tu! Kamu jangan nak mengarut pagi-pagi buta ni. Lekaslah. Karang lambat pulak si Mia tu sampai ke sekolah” Puan Azmah mula membebel. Agaknya memang begini hobi wanita berusia. Membebel merupakan satu hobi yang sukar untuk dibuang. Aku? Begini juga ke bila dah masuk zon itu nanti? Wahh, siapalah yang nak jadi mangsa keadaan tu? Sabar jelah. Kalau gini tahan lagi, tapi mana tau lagi sakan dari mama, wajib suami dan anak-anakku berguling-guling setiap kali aku membuka mulut. Ain menyarungkan kasut bertumit setinggi 2 ½ inci ke kakinya. Setelah itu, Ain terus membuka pintu kereta di bahagian kiri hadapan dan menyuruh Mia Aleesya masuk ke dalam. Si kecil itu menurut sambil tersenyum. Comel saja wajahnya membuatkan Ain terus mengukir senyuman. Alangkah indahnya hidupku jika memiliki anak secomel Mia Aleesya ini, desis hati Ain. Ish, apa yang aku merepek pagi-pagi buta ni. Ain terus memakaikan tali pinggang keselamatan buat Mia Aleesya. Safety first.

 “Mia dah sarapan?”

“Dah. Aunty Ain cantiklah hari ni?”

 “Aunty Ain memang hari-hari cantik”. Ain tersenyum sengeh memandang wajah Mia. Sekali sekala masuk bakul angkat sendiri. Apa salahnya. Si comel Mia ketawa kecil. Ain menurunkan cermin tingkap. Puan Azmah masih setia berdiri di muka pintu.

 “Bye mama..pergi dulu. Assalamualaikum” “Walaikumsalam. Hati-hati Ain. Bawa kereta tu elok-elok”

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Bab 2

Pagi itu hujan renyai membasahi alam dan keadaan sekeliling masih lagi agak kelam walaupun jam sudah menginjak hampir ke pukul 7 pagi. Jalan sudah mulai sesak memandangkan semua kenderaan bergerak perlahan. Setibanya Ain di sebuah simpang empat yang mempunyai lampu isyarat, Ain memberhentikan kereta yang dipandunya kerana lampu menunjukkan tanda berhenti.

 Banggggg….

Bunyi dentuman kuat kedengaran dari arah belakang. Ain sempat memandang Mia Aleesya yang terdorong ke hadapan. Hampir saja dahi si comel itu mencium dashboard di hadapannya. Mujurlah Ain memakaikan Mia Aleesya tali pinggang keselamatan tadi. Kalau tidak, mau tersembam jugak budak tu ke depan. Ain mengerling sekilas cermin tengah di hadapan keretanya untuk melihat apa yang telah berlaku di belakang. Butang hazard ditekan dan Ain pun keluar melihat apa yang telah berlaku.

 “Siapa pulak yang langgar belakang kereta aku ni? Dasar tak cukup inci. Ish, inci pendek sangat, agaknya orang yang langgar ni tak cukup meterlah. Ni mesti orang tengah mabuk tak nampak jalan. Baru balik dari kelab malam agaknya?” Ain membebel sendiri. Amboi dah start praktis nak mewarisi hobi mama nampak. Nak buat macam mana? Penyakit keturunan.

“Hoi, kenapa awak langgar belakang kereta saya hah!”.

Ain bertempik sebaik saja keluar dari kereta. Lagaknya macam samseng jalan raya. Entah dari mana kekuatan itu datang. Ain sendiri tidak pasti. Yang pasti begitulah sikap Ain. Cepat saja nak naik angin kalau tak kena gaya. Bak kata orang…sarang tebuan jangan dijolok. Hah, dialah sarang tebuan itu! Ni dah dijolok mulalah tebuan nak menyengat. Hilang ayu terus dah macam Incredible Hulk yang dah bertukar hijau saja lagaknya sekarang.

Nasib baiklah hujan dah mula berhenti. Kalau tidak mau luruh jugak bedak yang sudah ditempek tadi. Tulah celupar sangat mulut cakap yang bukan-bukan. Kan dah dapat balasan.

“Gila, awak mabuk ke?”. Tambahnya lagi. Ain melangkah ke belakang kereta. Jantungnya berdegup kencang. Tubuhnya terasa mengigil kerana terkejut dan rasa marah. Dia sudah tidak dapat membayangkan keadaan kereta itu yang telah dilanggar sebentar tadi.

Opps! Ain terkedu dan terkaku seketika sebaik melihat bahagian belakang kereta yang dipandunya. Kereta itu nampak walafiat saja. Tidak ada langsung cacat cela. Hanya kereta Mini Cooper S yang melanggar itu saja yang mengalami kerosakan pada bahagian hadapan. Kereta mini berwarna putih berjalur hitam. Teruk juga keadaan kereta itu kerana terperosok di bawah spare tyre kereta kembara. Dah macam tin biskut kemik dah jadinya. Nak buat macam mana? Dapat tuan tak berhemah. Nasib baiklah kau tergantung elok di pintu belakang ni wahai cik tayar. Boleh jugalah jadi penyelamat. Kalau tak, tak dapat nak dibayangkan nasib yang akan menimpamu. Kiranya hebat jugaklah kereta Kak Mahani ni. Sebiji macam kereta kebal.

 Ain menoleh sebaik melihat pemandu mini cooper S itu keluar dari keretanya. Lelaki itu hanya memakai Tshirt berwarna putih dan berkain pelikat. Ain tersentak. Tadi bukan main lagi dia marah dan menganggap yang bukan-bukan. Ternyata apa yang disangka memang jauh menyimpang. Lelaki itu tidak kelihatan seperti apa yang dia fikirkan.

 Alamak, boleh tahan jugak tinggi lelaki ni! Dia ni orang ke tiang letrik? Macam mana dia boleh bawa kereta sekecik itu? Kereta tak padan dengan tuan. Dalam banyak-banyak kereta mahal, kenapalah kereta adik-beradik Mr Bean ni yang jadi pilihan? Agaknya golongan mereka yang tak cukup macam Mr Bean memang punya selera yang sama. Yang herannya muka tu kira…bolehlah memang ada rupa pun. Nak kata takde rupa bohonglah sangat tapi kenapa dressingnya macam orang dah kehabisan gaya. Dia ni mangsa kebakaran ke mangsa banjir?

Lelaki itu memandang tajam ke arah Ain tanpa berkutik. Ain pula berasa semakin panas. Taulah kita ni lawa tapi janganlah asyik pandang semacam saja. Ingat kita ni ada hutang dengan dia gamaknya. Geram Ain melihat lelaki itu yang hanya berdiri kaku tak ubah seperti patung cendana. Patut dia ni masukkan saja dalam galeri patung di Muzium Negara. Biar dia berkawan dengan semua koleksi patung yang ada di sana. Atau letakkan saja dia di Tugu Negara. Biar bertambah lagi bilangan perajurit daripada tujuh menjadi lapan. Yang ke lapan ni kita bubuh tanjak kat kepalanya. Agak-agak ok tak?

“Kut iye pun katalah sorry atau maaf ke? Takdelah orang rasa nak marah sangat. Ni tak asyik diam je. Macam orang bisu pulak. Agaknya memang bisu kut? Karang ada jugak yang nak kena guna bahasa isyarat macam kat sekolah orang-orang bisu tu. Baru padan dengan muka. Harap muka je handsome tapi budi bahasa memang out”. Ain membebel sendiri. Bagai peluru datang bertubi-tubi dia menembak lelaki itu. Namun Lelaki itu tetap membisu. Tidak beralih pandangannya ke arah Ain yang sudah kelihatan seperti cacing kepanasan.

Maaflah ye darling! Kita tak tergoda pun dengan awak. Tak payahlah nak pandang-pandang. Mamat tiang. Cakap dengan tiang lagi bagus. Dah tentunya memang takde suara. Bosan melihat lelaki bisu itu, Ain mengeluarkan telefon bimbitnya lalu menghubungi Abang Zack. Hari sudah mulai cerah. Ain perlu segera menyelesaikan masalah ini. Jika tidak dia pasti akan terlewat untuk menghadiri temuduga. Lelaki tak cukup ini memang betul-betul menyusahkan.

“Hello Abang Zack, boleh datang sini tak? Ada orang gila dah langgar belakang kereta Ain ni”. Ain mengerling ke arah lelaki itu. Sengaja ditekankan perkataan `gila’ di hadapan lelaki itu. Ikutkan hati mahu saja dia menjelir lidahnya. Geram dia melihat lelaki itu. Lelaki itu kelihatan tersentak. Agaknya faham kut kalau dia tidak bisu dan pekak.

 “Hah, kat mana tu? Ok Ain releks jangan buat apa-apa. Tunggu abang datang. Biar abang yang selesaikan semuanya ya” Zakuan memberi nasihat. Dia tidak mahu Ain bertindak yang bukan-bukan.

“Ok” Ain mengangguk faham dan menerangkan kepada Zakuan di mana lokasi kejadian itu berlaku. Sesudah itu dia memutuskan talian. Suasana terus sepi tanpa sebarang kata. Hanya kedengaran bunyi bising kenderaan yang lalu lalang memecah kesunyian. Selepas lebih 10 minit berlalu, Zakuan akhirnya muncul bersama kereta Vios miliknya.

 “Kenapa Ain?” “Ada orang gila tu langgar belakang kereta Ain”. Perli Ain. Sengaja diulang sekali lagi perkataan ‘orang gila’ di hadapan lelaki itu. Siapa suruh tak reti nak minta maaf. Padan muka!

“Tak apalah Ain. Ambik kunci kereta abang ni. Ain bawaklah kereta abang dan uruskan Mia. Masalah kereta ni biar abang yang selesaikan”. Ujar Zakuan tenang.

“Baiklah. Terima kasih Abang. Ain minta maaf banyak-banyak”. Luah Ain dengan rasa bersalah.

“Tak ada apa yang perlu nak dimaafkan. Ain tak bersalah pun. Benda dah nak jadi nak buat macam mana. Pergilah nanti Ain terlambat pulak”. Pantas Zakuan memberi cadangan. Ain tidak boleh dibiarkan berurusan sendiri dengan mamat ni. Silap haribulan ada yang buka kungfu kat tengah jalan juga ni nanti. Bukan tak tau perangai si Ain tu. Ain segera mendapatkan Mia. Mereka kemudiannya beredar meninggalkan tempat itu bersama kereta Vios milik Zakuan.

Bye-bye mamat tiang!
haiii!!!...welcome to my blog. terima kasih banyak-banyak kerana sudi singgah sejenak di blog saya yang tak seberapa ini..saya titipkan nukilan pertama saya AIN FARAH INSYIRAH Aku Punya!!! untuk tatapan semua pembaca yang mengunjungi blog ini. jujur saya akui, saya bukanlah insan yang mahir dalam dunia penulisan ini. keinginan untuk menghasilkan karya sendiri juga tidak pernah terlintas di minda saya sama sekali sebelum ini...tetapi setelah saya mula membaca banyak novel-novel yang sangat menghiburkan sejak akhir-akhir ini, maka timbullah niat untuk menguji kemampuan dan kebolehan diri. semoga anda semua terhibur. bunch of thanks :)