Saturday, 28 September 2013

AIN FARAH INSYIRAH Aku Punya!!! Bab 17


Ain melabuhkan punggungnya perlahan-lahan di kerusi pejabat yang ada di biliknya. Surat perjanjian yang sepatutnya diserahkan kepada Tengku Zahran diletakkan semula di atas mejanya.  Fikirannya mula menerawang jauh memikirkan drama sebabak yang telah berlaku sebentar tadi.  Satu persatu insiden yang telah berlaku mula terlayar dimindanya. Mengingatkan pertemuannya dengan Elina membuatkan Ain dipagut resah. Reaksi Elina yang jelas ketakutan sebaik melihat wajahnya membuat Ain terus menerus diburu pelbagai persoalan.

Siapa Elina dan Farah Insyirah di mata Tengku Zahran? Berapa ramai koleksi teman wanita lelaki itu sebenarnya? Kalau memang Tengku Zahran mempunyai ramai koleksi teman wanita sekali pun, apa masalahnya? Itu hak dia. Tapi kenapa pulak aku rasa macam ada yang tak kena? Antara Elina, Farah Insyirah dan Tengku Zahran. Seperti mereka punyai satu cerita yang bersangkut paut dengan diriku. Kalau tidak, masakan Elina pandang aku semacam aje? Macam orang terjumpa hantu Kak Limah balik rumah. Aduh, tolonglah! Ada sesiapa boleh bagi jawapan tak? Ain bermonolog dan gelisah sendiri. Dia cukup tidak suka memaksa otak memikirkan soalan-soalan yang berkaitan dengan perasaan. Menyeksa jiwa dan raga. Arghh, kenapa otak aku asyik memikirkan semua tentang Tengku Zahran? 

“Ain”. Gadis yang sedang termenung jauh itu tersentak. Terkejut melihat Tengku Zahran sudah pun berdiri di hadapannya.

“Ya, ada apa Encik Zahran?”. Ain membetulkan kedudukannya dan cuba berlagak tenang. Malu pula dia disapa ketika sedang melamun sendirian. Dah tu disapa pula oleh Tengku Zahran. Alamak, kantoi! Waktu-waktu kerja pun sempat lagi fikiran melayang entah ke mana-mana. Apalah tanggapan Tengku Zahran terhadapnya ketika ini? Minah berangan agaknya.

“Dah puas melamun? Jom”.

“Hah? Nak ke mana?”. Berkerut dahi Ain memandang Tengku Zahran. Terasa pedih dan malu dengan soalan yang ditujukan kepadanya. Tengku Zahran memang spesies yang payah nak menjaga hati orang. Cakap tak reti nak berlapik. Macam ni punya perangai memang malanglah sesiapa yang nak jadi bini dia. Wajib makan hati berulam jantung sepanjang hayat. Ish, yang aku terus memikirkan soal dia ni kenapa? Buang karan je mimikirkan orang yang tak ada hati dan perasaan seperti Tengku Zahran.

“Jumpa klien”. Jawab Tengku Zahran dengan riak selamba. Tiada secalit senyuman diwajahnya. Mulalah tu nak buat perangai mamat tiang dia tu. Kedekut! Nak senyum pun payah.

“Now?”. Ain kebingungan. Setahu dia, Tengku Zahran tidak ada appoinment dengan mana-mana klien pun yang melibatkan dirinya pada hari ini. Kalau esok memang ada. Appointment dengan klien dari Sabah yang melibatkan surat perjanjian yang baru saja ingin dia tunjukkan kepada Tengku Zahran tadi. Apa lagi agenda Tengku Zahran kali ini? melihat wajah serius Tengku Zahran membuatkan Ain tidak berani untuk bertanya lebih dari sepatutnya. Tambahan pula Tengku Zahran baru saja lepas naik angin. Karang tak pasal-pasal dia mengamuk pulak di bilik ni. Aku jugak yang susah.

“Saya ada kata esok ke?”. Soal Tengku Zahran tegas. Senyuman masih belum terukir di bibirnya. Wajah Tengku Zahran kelihatan tak ubah seperti singa lapar yang hendak membaham mangsanya.

Ain bengang. Orang tanya pun nak marah. Macam bagus sangat, desis hatinya. Sinisnya kata-kata Tengku Zahran menikam hingga ke ulu hati. Kenapalah lelaki ini selalu tidak berperasaan? Nasib baiklah aku tak ada penyakit gastrik. Kalau tak mahu dua kali sakit jadinya. Dan sakit yang paling utama ialah sakit hati.

“Oh, okay! Saya ambik barang kejap”. Ain membuka laci meja dan mengambil beg tangannya. Pantas saja beg tangan itu digalas di bahu kanannya. Dia sedar yang dia kini sedang menerima arahan daripada seorang majikan. Soal perasaan haruslah ditolak ke tepi. Pelbagai persoalan yang mengasak mindanya sebentar tadi harus dilupakan buat seketika. Sekarang bukan masanya untuk memikirkan perkara yang bukan-bukan. Fokus utama haruslah kembali kepada soal kerja. Surat perjanjian yang telah siap itu dimasukkan ke dalam fail. Fail itu kemudiannya dibawa bersama buku catatannya. Mereka kemudiannya beriringan meninggalkan bilik itu.

“Lin, saya dan Ain nak jumpa klien kejap lagi. Ada urgent discussion. Kami tak masuk ofis dah lepas ni. So, tolong batalkan semua appointment saya untuk hari ini”. Tegas Tengku Zahran memberi arahan sebaik saja tiba di hadapan meja Norazlin. Ain membuntang mata. Terkejut mendengar arahan yang diberikan. Tak masuk ofis? Dia nak ke mana sebenarnya? Takkan nak jumpa klien sampai sehari suntuk tak masuk ofis. Istimewa sangatkah klien itu sampaikan kami kena luang masa sehari bersamanya. Wah, macam manalah agaknya berdepan dengan klien sehari suntuk? Agaknya bagai dewi dari kayangan kut sampai kena layan sehari suntuk bagai. Pasti akan kebas seluruh wajahku kerana terpaksa mengukir senyuman sepanjang hari. Oh, tidak! Seksanya.

“Macam mana meeting Encik Zahran dengan bos besar dan Encik Zahrin nanti?”. Soal Norazlin inginkan kepastian. Tiada masalah baginya untuk membatalkan semua temujanji Tengku Zahran kecuali yang melibatkan bos besar, Tengku Zawawi Darwisy.

“Bagitau je meeting postpone kat bos besar. Saya ada hal mustahak. Tak nak diganggu”. Tutur Tengku Zahran dengan riak selamba. Ain tersentak mendengar jawapan Tengku Zahran. Amboi, besarnya lesen! Siapa yang lebih bos sebenarnya kat ofis ni? Pandai-pandai je nak cancel meeting dengan bos besar. Dah tu mengada-ngada pulak tak nak diganggu. Bertuah punya anak.

Wajah Ain mula diserbu rasa panas. Malu pula dia melihat Norazlin tersenyum manis memandangnya. Di hati dia berdoa semoga Norazlin tidak menaruh syak wasangka buruk terhadapnya. Sungguh dia tidak tahu menahu mengenai temu janji kali ini. Dia hanya menurut arahan Tengku Zahran kerana dia adalah pekerja sama seperti Norazlin dan yang lain.

“Baik Encik Zahran”. Angguk Norazlin. Walaupun tegas arahan yang diberikan, Norazlin tetap kelihatan tenang. Ternyata Norazlin sudah biasa melayan karenah bos yang anginnya sukar untuk dijangka. Kiranya ribut taufan datang tak bagi salamlah ni. kalau hari-hari macam ni, mau pendek umur dibuatnya. Tapi tengok Kak Lin okay je! Agaknya betul la kata pujangga, alah bisa tegal biasa..

Ain memandang ke segenap ruang pejabat itu. Semua kakitangan yang ada di situ kelihatan sibuk dengan hal dan tugas masing-masing. Tiada sepasang mata pun yang memandang ke arah mereka. Walhal bukan mereka tidak boleh mendengar arahan yang telah diberikan oleh Tengku Zahran kepada Norazlin. Ain tahu mereka semua hanyalah berpura-pura. Bukannya Ain tak kenal mereka semua. Kalau macam nilah reaksi mereka, kira dahsyat jugalah penangan Tengku Zahran. Sampaikan semua staf boleh tunduk seperti orang terkena guna-guna. Apa yang membuatkan mereka ni takut sangat? Takut dibuang kerja agaknya. Emm..itulah kelebihan orang banyak duit dan ada kuasa. Segalanya ikut kehendak mereka saja.







AIN FARAH INSYIRAH Aku Punya!!! Bab 16


Ain melihat hasil kerjanya yang telah siap itu sambil melangkah menuju ke bilik Tengku Zahran. Tanpa sedar bibirnya mengukir senyuman. Senyum kerana berpuas hati dengan hasil kerjanya. Dihati Ain berdoa semoga tiada komen yang bakal diberikan oleh Tengku Zahran. Esok surat perjanjian itu akan bertukar tangan dengan klien baru dari negeri di bawah bayu.

“Siapa benarkan awak masuk ke sini hah?”. Kedengaran suara Tengku Zahran membentak. Ain tersentak. Langkahnya terus terhenti. Mujurlah dia belum lagi sampai ke muka pintu. Kelihatan pintu bilik Tengku Zahran terbuka. Ain merapatkan tubuhnya ke dinding. Dia tidak mahu Tengku Zahran menyedari kehadirannya. Rasanya waktu ini Tengku Zahran ada tetamu yang tidak diundang. Hatinya didesak oleh satu perasaan halus untuk mendengar perbualan itu.

“Darling..you janganlah nak marah-marah” satu suara manja kedengaran dari dalam bilik itu. Darling?? Wekkk..gelinya. Ain mencebik sendiri. Sah! Ini mesti spesies hidung tak mancung pipi tersorong sorong. Buat malu kaum sejenis aje!

“Buat apa kau datang jumpa aku? Kenapa, dah takde ke lelaki yang nakkan kau?”. Ain menelan air liur kelat. Rasa tersekat di tengah kerongkong. Boleh tahan juga laser mulut Tengku Zahran kali ni. Inilah pertama kali Ain mendengar lelaki itu marah. Kecut juga perut Ain dibuatnya. Dia ni kalau jadi suami aku pastu marah-marah aku macam ni, mau juga aku lari sembunyi dalam almari. Eh, apa yang aku merepek ni!

“Darling..sampai hati you kata I macam tu. I susah payah tau datang ke sini semata-mata nak jumpa you. You tau tak I still sayangkan you?”. Rengek gadis itu manja.

“Pergi jahanam dengan sayang kau tu. Eh..kau tau tak? Ini pejabat bukannya tepi pantai atau taman bunga. Jangan nak buat drama kat sini!”. Marah Tengku Zahran semakin meluap-luap.

“Darling, sampai bila you nak macam ni? Sedarlah sikit. Farah Insyirah dah takde. You cubalah terima hakikat. Farah Insyirah tu takkan kembali kepada you sampai bila-bila pun”. Ain terpempan. Dadanya pantas berdegup kencang. Bukan saja kerana rengekan manja gadis itu membuatkan dia rasa begitu. Tetapi kerana nama yang telah disebutkan oleh gadis itu. Siapa Farah Insyirah? Kenapa aku rasa macam familiar aje dengan nama tu? Ah, kenapalah tika dan saat ini otakku tidak mampu untuk mengingati apa saja yang berkaitan dengan nama itu?

“Don’t you dare to talk about Farah. Sekali lagi kau sebut nama Farah di sini..nahas kau aku kerjakan. Ingat Elina. Sekalipun perempuan cuma tinggal seorang saja di dunia ini, aku tetap takkan pilih kau. Lebih baik kau berambus sekarang”. Ain terlopong. Farah? Ya aku sudah ingat dengan nama itu. Dulu sewaktu aku mula menjejak kaki ke sini, penyambut tetamu di lobi dan Asilah memanggilku dengan nama itu. Siapa Farah sebenarnya? Mungkinkah dia kekasih Tengku Zahran? Tak mustahil tapi siapa pula Elina? Kenapa Tengku Zahran marah dan benci sangat dengan Elina? Huh..bermacam-macam persoalan bermain di fikirannya. Ain jadi penasaran.

“Darlinggg..sampai hati you. I betul-betul sayangkan you tapi you layan I macam ni. Tak baik tau”. 

“Eh, kau faham tak? Aku kata berambuskan. Aku ada banyak kerja ni. Keluar!”. Tengku Zahran menengking gadis yang tak reti bahasa itu.

“Darling..lupakan Farah. I boleh gantikan tempat dia. Bagilah I peluang. I janji akan bahagiakan you. Please..”. Elina masih tidak mahu berputus asa untuk memenangi hati Tengku Zahran, Alang-alang sudah merempuh masuk ke bilik itu, Elina nekad tidak mahu pergi begitu saja.

“Shut up! Jangan kau sebut lagi nama Farah dan jangan uji kesabaran aku Elina”. Kemarahan Tengku Zahran semakin hampir ke puncak.

“Darling..”

“I said get out. Sebelum aku hilang sabar baik kau keluar dari bilik ni sekarang jugak!”. Mendengar suara Tengku Zahran yang semakin berapi itu membuatkan Ain menapak perlahan untuk melihat sendiri apa sebenarnya yang berlaku. Ain sendiri tidak pasti sama ada dia patut melihat apa yang telah berlaku di bilik Tengku Zahran atau sebaliknya. Hatinya menghalang untuk dia mengambil tahu hal orang lain tetapi langkah kakinya tidak memperdulikan semua itu. Ain terdorong untuk melihat gadis bernama Elina. Akhirnya tanpa diduga Ain terpacak di muka pintu.

“I said get out”. Suara Tengku Zahran memecah ruang bilik. Matanya sudah melihat Ain berdiri di muka pintu. Elina tersentak. Melihat wajah berang Tengku Zahran mengundang perasaan takut dihatinya. Tanpa sedar, air matanya sudah merembes membasahi pipi. Tengku zahran memang keterlaluan. Tergamak mengusirnya keluar dari bilik itu. Sedangkan dia bersusah payah untuk masuk ke bilik itu semata-mata ingin menemui orang yang dikasihinya.

“And you too..get out”. Tengking Tengku Zahran. Dia sudah tidak perasan dan tidak peduli siapa yang berada di hadapannya ketika itu. Hatinya benar-benar sakit bila Elina mengungkit soal Farah.
 Elina berpaling dan berlari laju ke muka pintu.

“Auchhh..!”. Ain bersuara sebaik saja Elina melanggar bahunya. Elina berpaling memandang Ain. Terlopong Elina sebaik saja memandang wajah itu.

“You…”. Wajah Elina kelihatan mulai pucat. Jasadnya terpaku seketika. Jari telunjuk kanan yang di tujukan ke wajah Ain terus membeku. Ain tersentak. Hairan melihat reaksi Elina yang tak ubah seperti orang terjumpa hantu di tepi jalan. Pandangan mata mereka bertaut tajam. Masing-masing saling diam tanpa berkutik. Ain melihat gadis di hadapannya dengan penuh kusyuk. Boleh tahan juga orangnya. Kalau nak digandingkan dengan Tengku Zahran memang sepadan. Cantik memang cantik. Macam supermodel. Cuma kecantikan itu telah hilang aslinya. Nampak plastik saja.

Tengku Zahran turut tersentak. Baru dia sedar akan kehadiran Ain di situ. Sejenak Tengku Zahran berfikir. Bukankah dia yang telah menengking gadis itu sekali dengan Elina sebentar tadi. Ah, sudah!

“Huh..!”. Tengku Zahran menepuk dahi. Apa sudah jadi ni? Kenapa Ain datang waktu-waktu begini? Elina sudah bertemu dengan Ain. Habislah!

“Arrrggghhh…”. Tengku Zahran mendengus geram. Genggaman tangan kanannya singgah di atas meja yang dilitupi dengan timbunan beberapa buah fail. Sekali gus menyedarkan kedua gadis itu. Serentak mereka berdua berpaling memandang Tengku Zahran. Ain tersentak. Melihat wajah Tengku Zahran yang tak ubah seperti singa lapar membuatkan kedua-dua lututnya mengeletar. Kenapalah aku ni saja nak mencari penyakit? Melibatkan diri dalam drama sebabak yang menjerat pangkal leher sendiri.

Tengku Zahran terkedu melihat kedua-dua pasang mata itu terarah kepadanya.
Elina hanya memandang Tengku Zahran seketika. Waktu ini tumpuannya sudah tidak ada lagi pada Tengku Zahran. Dia lebih memikirkan Ain. Pandangannya diarah semula ke wajah Ain. Siapakah gadis ini sebenarnya? Aku bermimpi berhadapan dengan Farah ke? Gadis seksi itu kelihatan benar-benar takut. Wajahnya bertambah-tambah pucat. Tanpa menunggu lama, dia berlalu pergi meninggalkan Ain yang berdiri tanpa berkutik.

“Err..maaf. Saya tak sepatutnya berada di sini waktu ni”. Ain memandang Tengku Zahran. Belum pun sempat Tengku Zahran membuka mulut, Ain terus berlalu pergi meninggalkan bilik itu. Tengku Zahran pula terpinga-pinga. Bengang dengan situasi yang telah berlaku.

“Arrrrrgggghhhhh..!”. Tengku Zahran melepaskan geram sekali lagi sambil menghempas punggungnya di kerusi. Tangannya pantas menolak beberapa buah fail yang ada di atas meja itu. Bertaburan fail-fail dan segala isinya di atas lantai. Tengku Zahran meraup wajahnya. Tubuhnya disandarkan di kerusi yang empuk dan selesa miliknya. Pandangannya dilemparkan ke arah siling. Fikirannya benar-benar berserabut. Memikirkan Elina, Ain dan rahsia antara dia dan Farah. Bagaimana jika segala rahsia terbongkar sebelum sampai masanya? Elina pasti takkan berdiam. Dan Ain..bolehkah dia menerima semua ini nanti? Tengku Zahran buntu. Kenapa Elina muncul semula setelah lebih setahun menghilang? Apa yang dia nak sebenarnnya? Menagih kasih? Oh tidak! Perempuan tak guna itu memang benar-benar menyusahkan!

Thursday, 26 September 2013

AIN FARAH INSYIRAH Aku Punya!!! Bab 15


Diam tak diam sudah lebih sebulan Ain bekerja di syarikat milik keluarga Tengku Zahran.  Pelbagai tugasan telah pun dilakukan dengan penuh komitmen dan kesungguhan. Bekerja dengan dua bos muda itu memang satu cabaran buat dirinya. Tengku Zahrin dan Tengku Zahran memang benar-benar mengutamakan soal kerja. Tiada istilah sambil lewa atau melengah-lengahkan kerja bagi mereka. Setiap tugasan yang telah diamanahkan perlu disiapkan sebelum sampai waktunya. Tapi berurusan dengan kedua mereka memang cukup mudah. Walaupun keduanya amat tegas dan serius sewaktu bekerja, tidak bermakna mereka tidak boleh dibawa berbincang dan menerima pandangan orang lain.
Hubungan Tengku Zahran dan Tengku Zahrin dengan semua kakitangan yang ada juga amat baik. Walaupun tegas mereka tidak pernah berkeras. Jauh sekali nak memaki hamun para pekerja sesuka hati. Itulah sebabnya kedua mereka amat dikagumi dan dihormati. Tidak kurang juga yang amat meminati terutama golongan hawa. Sampai ada yang masuk tahap angau pun ada.

Ain membelek surat perjanjian yang telah siap ditangannya. Sudah berkali-kali dia menyemak surat perjanjian itu untuk memastikan tiada sebarang kesalahan yang telah dilakukan. Namun dia masih mahu meneliti semula hasil kerjanya itu buat kali terakhir sebelum semua itu diserahkan ke tangan Tengku Zahran. Ain seboleh-bolehnya tidak mahu Tengku Zahran melihat dia membuat kesilapan.

“Hai, makcik buat apa tu?” sergah Khalili yang sudah membuat pose di muka pintu. Ain terperanjat. Matanya membuntang memandang Khalili. Kacau betul. Mengganggu konsentrasi aje.

“Ish..Kak Lili ni buat terkejut aje? Nasib baik Ain takde penyakit lemah jantung tau. Kalau tak mahu bye-bye jugaklah Ain la ni”. Marah Ain manja. Dia sebenarnya sudah masak dengan perangai lelaki yang tak berapa nak jelas itu. Lelaki yang bernama `Ahmad khalili’ tetapi lebih terkenal dengan panggilan `Kak Lili’. Jawatannya hanya sekadar budak pejabat tetapi gaya penampilannya…auww..glamour you! Tapi takdelah sampai nak memakai pakaian perempuan okay.

“Tulah awak takde benda lain asyik fokus kerja..kerja..kerja. bukannya nak ingat benda lain”. Khalili mula nak membebel sambil menapak masuk. Ain memerhati setiap langkah lelaki itu.

“Habis tu kalau tak fokus pada kerja nak fokus pada apa lagi?”. Ain sudah menongkat dagu dengan tangan kanannya. Tangan kirinya masih setia memegang sebatang pen sedari tadi. Jangan tak tau gadis ini sebenarnya kidal orangnya.

“Fokuslah pada benda lain. Fokus macam mana nak cari laki? Macam mana nak memikat? Macam mana nak maintain muka supaya takdelah rupa orang tu macam memerang aje selalu? Bukan ke itu lebih bagus?”. Mak aii, ni ceramah ke kuliah pagi? Ain membuntang matanya. Wah, membina jugak komen `kakak’ seorang ni. Aku disamakan dengan memerang? Tak comel langsung. Takde ke binatang yang lebih comel lagi selain daripada binatang tu? Tolonglah!

“Kak Lili ni merepeklah. Siapa yang nak kahwin?”.  Pagi-pagi lagi dia sudah mendengar orang membebel. Mengalahkan perempuan.

“Siapa lagi..youlah. Takkan I kut. Tak sesuai okay”.  
“Bila masa Ain nak kahwin? Calon pun takde nak kahwin konon”. Ain mencebik. Walaupun baru sebulan mengenali lelaki kurang jelas itu, hubungan mereka cukup rapat. Sudah seperti adik beradik.

“Ishhh…siapa kata takde. Orang cantik macam you nikan mestilah ramai yang bekenan terutama golongan atasan. Cantik ke? Bolehlah”. Khalili buat mimik muka tak ikhlas. Ain menjegil mata. Lain macam saja makna cantik untuk golongan atasan itu. Eii, seramnya!

“Kak Lili ni gilerlah. Siapa golongan atasan yang nak kat Ain ni? Kak Lili jangan nak mereka cerita? Buat gossip pagi-pagi buta. Karang tak pasal-pasal ada jugak orang yang kena berehat seminggu kat hospital Seberang Jaya”. Ain mula sebal. Kak Lili ni memang spesies takde insuran mulut. Sesedap rasa aje nak bercakap. Patut mulut dia ni aku sumbat dengan sekilo cili padi. Baru padan dengan muka.

“Hei, ni bukan gossip okay! Ni cerita sensasi pasal husband to be you tulah”. Khalili sudah mula tunjuk gaya tangan dan bercekak pinggang. Macam orang nak menari inang. Ain tergelak melihat aksi Khalili. Walaupun dihati rasa macam nak piat saja telinga mamat crystal jelly itu. Kak Lili ni kalau tak buat gaya memang tak sah.

“Ya Allah! Husband to be mana pulak ni? Kak Lili nak bagi Ain kat siapa pulak dah?”. Ain mengerut dahi. Menanti calon yang dimaksudkan. Jangan bagi yang bukan-bukan sudah. Atau yang tua bangka. Lagi parah. Minta simpanglah.

“Siapa lagi kalau bukan jejaka terhangat di pasaran yang sering jadi sebutan dan rebutan?”. Khalili menjungkit sebelah keningnya.   

“Siapa? Tengku Zahrin”. Ain menebak. Nama itu yang mula terlintas di mindanya kerana nama itu sering kedengaran meniti di bibir ramai pekerja terutamanya golongan wanita, anak-anak dara dan juga mak-mak janda. Lagipun Ain sukakan senyuman Encik senyum @ Mr. Smile itu. Senyumannya sweet and cute sangat. Opps, terlebih sudah!

“Ish, you ni lembab betul. Bukan Tengku Zahrinlah. Tengku Zahrin tu susah sikit. Takde perasaan. Dalam kepala dia takde lain selain kerja aje. Bosan betul hidup dia”. Khalili berkata separuh berbisik. Ain membuntang mata. Tersentak kerana jawapan yang diberi tidak tepat. Siapa lagilah calon mamat cystal jelly ni? Ain sudah blur.

“Habis tu siapa?”

“The most handsome man kat ofis ni. Cuba teka siapa lagi selain Tengku Zahrin?”. Ain dan Khalili saling berpandangan. Ain mengerut dahi. Khalili menjungkit-jungkit sebelah keningnya. Sebiji macam kening Ziana Zainlah pulak.

“Siapa? Kak Lili baik cakap cepat kalau tak..ada jugak orang yang kena makan penumbuk ni nanti”. Temperature Ain sudah mula mencatat kenaikan suhu.

“You ni takde kerja lain asyik nak belasah orang aje. Garang sangat. Macam harimaulah. Karang you tak laku sampai ke tua baru padan dengan muka”

“Biarlah kalau tak laku pun”

“Amboiii, pandainya menjawab! Cili mulut tu karang”. Khalili bercekak pinggang. Lagaknya tak ubah seperti ibu mertua Kassim Selamat. Ain menjelir lidahnya. Mereka kemudiannya sama-sama ketawa.

“Kak Lili cepatlah. Siapa dia calon husband to be Ain to?”. Ain sudah mula hilang sabar. Hatinya diasak oleh keinginan untuk mengetahui siapakah calon pilihan yang dikenen oleh Khalili. Mamat ni bukan boleh dikira sangat. Kalau dia bagi aku calon yang bukan-bukan, siaplah. 

“Eiii, gelojohnya minah ni. Kut iya pun nak kahwin, cubalah bawa bersabar sikit”

“Kak Lili..! cuba tengok muka Ain ni ada macam orang tak sabar nak kahwin ke?”. Ain tunjuk wajah sinis. Geram Ain dengan tuduhan Khalili yang langsung tak masuk akal. Khalili bantai gelak memandang Ain. Dia tahu Ain bengang dengan kata-katanya sebentar tadi. Bab-bab kahwin ni tak usahlah dibawa bersembang dengan minah seorang ni. Tak masuk dalam kepala pun.   

“Baik Kak Lili cakap cepat, kalau tak…”

“Iyelah, iyelah. Ish perempuan versi lelaki ni takleh nak buat suspen langsung. Asyik nak marah aje. Tengku Zahranlah”

“Haaa, gilerrrr! Bila masa pulak dia nak jadi suami Ain? Merepeklah Kak Lili ni?”. Suara Ain kedengaran memenuhi seluruh ruang bilik. Bagaikan tebuan sudah keluar dari sarangnya

“Syyyhhh…diamlah. Slow sikit boleh tak. Minah ni aku palam jugak mulut dia ni nanti. Bising betul! Sebijik macam chipanzi”. Khalili meletakkan jari telunjuk kanan di bibirnya. Matanya pantas memandang ke arah pintu yang terbuka. Takut ada insan yang lalu atau berdiri di situ. 
Ain membuntang mata menahan geram. Kurang asam betul lelaki versi perempuan ni. Tadi kata memerang. Lepas tu harimau. Sekarang ni chipanzi pula. Lama-lama habis jugalah binatang satu zoo ni nanti dia bagi kat aku. Melampau betul!

“Ni Kak Lili nak habaq..husband to be you tu dah tak nak minum kopi I buat mulai dari hari ni. Dia nak you yang buat berkuatkuasa serta merta. Ada faham?”. 

“Hah, tak naklah. Kenapa pulak Ain yang kena buat?”

“Sebab dia dah tak nak I yang buat. Katanya dia takkan minum kopi yang orang lain buat selain daripada you. Nak bermanjalah tu. Owh, so sweet”. Khalili meletakkan kedua belah tangannya ke dada dengan penuh perasaan. Seolah-olah dia sedang menonton babak romantik di dalam drama Korea dan telenovela.

“Wekk, ngada-ngadanya! Karang Ain taruh racun tikus baru padan dengan muka”. Ain tunjuk reaksi geli. Meluatnya dengan mamat poyo tu. Suka sangat nak bagi arahan. Macamlah aku ni bibik kat rumah dia.


“You..tak baik tau. Karang mati pulak husband to be you tu nanti. Siapa pulaklah insan malang yang nak kahwin dengan you yang perangai tak macam perempuan ni?”. Khalili bercekak pinggang sambil tunjuk muka marah. Tapi tak takut pun. Walau tunjuk muka marah sekalipun Kak Lili tetapi ayu. Ain mencebik.

"Dahlah. Jangan nak buat muka buruk you tu. Walaupun I tau kopi yang you buat memang tak sedap langsung but jangan malas. Nak jadi isteri ni tak boleh malas-malas tau. Pergi..pergi”. Khalili membuat gaya tangan menyuruh Ain keluar.

“Alah Ain banyak kerjalah. Kak Lili ajelah yang tolong buatkan. Nanti Ain hantarkan okay”. Ain cuba nak berdalih. Malas nak memenuhi permintaan mamat poyo yang entah apa-apa. Tengku Zahran kalau tak buat perangai memang tak sah.

“Tak boleh”. Khalili memberi isyarat tangan menggunakan jari telunjuk kanannya.

“Please..”

“Nak I buatkan..cium tangan I dulu”. Khalili menghulurkan tangan kanannya.

“Blahlah. Tak nak. Mengada-ngada nak orang cium tangan dia”. Ain menjeling tetapi bibirnya sudah tidak mampu untuk menyembunyikan senyuman.

“Tau takpe. Okaylah my dear. Jangan lupa buat tau. I nak keluarlah. Malaslah I nak duduk lama-lama kat bilik you ni. Terbakar bontot I nanti”. Ain tergelak. Kak Lili ni memang spesies tak senonoh kalau bercakap. Sama saja macam dirinya. Ikut suka hati saja. Janji hidup mesti Happy!