Saturday 28 September 2013

AIN FARAH INSYIRAH Aku Punya!!! Bab 17


Ain melabuhkan punggungnya perlahan-lahan di kerusi pejabat yang ada di biliknya. Surat perjanjian yang sepatutnya diserahkan kepada Tengku Zahran diletakkan semula di atas mejanya.  Fikirannya mula menerawang jauh memikirkan drama sebabak yang telah berlaku sebentar tadi.  Satu persatu insiden yang telah berlaku mula terlayar dimindanya. Mengingatkan pertemuannya dengan Elina membuatkan Ain dipagut resah. Reaksi Elina yang jelas ketakutan sebaik melihat wajahnya membuat Ain terus menerus diburu pelbagai persoalan.

Siapa Elina dan Farah Insyirah di mata Tengku Zahran? Berapa ramai koleksi teman wanita lelaki itu sebenarnya? Kalau memang Tengku Zahran mempunyai ramai koleksi teman wanita sekali pun, apa masalahnya? Itu hak dia. Tapi kenapa pulak aku rasa macam ada yang tak kena? Antara Elina, Farah Insyirah dan Tengku Zahran. Seperti mereka punyai satu cerita yang bersangkut paut dengan diriku. Kalau tidak, masakan Elina pandang aku semacam aje? Macam orang terjumpa hantu Kak Limah balik rumah. Aduh, tolonglah! Ada sesiapa boleh bagi jawapan tak? Ain bermonolog dan gelisah sendiri. Dia cukup tidak suka memaksa otak memikirkan soalan-soalan yang berkaitan dengan perasaan. Menyeksa jiwa dan raga. Arghh, kenapa otak aku asyik memikirkan semua tentang Tengku Zahran? 

“Ain”. Gadis yang sedang termenung jauh itu tersentak. Terkejut melihat Tengku Zahran sudah pun berdiri di hadapannya.

“Ya, ada apa Encik Zahran?”. Ain membetulkan kedudukannya dan cuba berlagak tenang. Malu pula dia disapa ketika sedang melamun sendirian. Dah tu disapa pula oleh Tengku Zahran. Alamak, kantoi! Waktu-waktu kerja pun sempat lagi fikiran melayang entah ke mana-mana. Apalah tanggapan Tengku Zahran terhadapnya ketika ini? Minah berangan agaknya.

“Dah puas melamun? Jom”.

“Hah? Nak ke mana?”. Berkerut dahi Ain memandang Tengku Zahran. Terasa pedih dan malu dengan soalan yang ditujukan kepadanya. Tengku Zahran memang spesies yang payah nak menjaga hati orang. Cakap tak reti nak berlapik. Macam ni punya perangai memang malanglah sesiapa yang nak jadi bini dia. Wajib makan hati berulam jantung sepanjang hayat. Ish, yang aku terus memikirkan soal dia ni kenapa? Buang karan je mimikirkan orang yang tak ada hati dan perasaan seperti Tengku Zahran.

“Jumpa klien”. Jawab Tengku Zahran dengan riak selamba. Tiada secalit senyuman diwajahnya. Mulalah tu nak buat perangai mamat tiang dia tu. Kedekut! Nak senyum pun payah.

“Now?”. Ain kebingungan. Setahu dia, Tengku Zahran tidak ada appoinment dengan mana-mana klien pun yang melibatkan dirinya pada hari ini. Kalau esok memang ada. Appointment dengan klien dari Sabah yang melibatkan surat perjanjian yang baru saja ingin dia tunjukkan kepada Tengku Zahran tadi. Apa lagi agenda Tengku Zahran kali ini? melihat wajah serius Tengku Zahran membuatkan Ain tidak berani untuk bertanya lebih dari sepatutnya. Tambahan pula Tengku Zahran baru saja lepas naik angin. Karang tak pasal-pasal dia mengamuk pulak di bilik ni. Aku jugak yang susah.

“Saya ada kata esok ke?”. Soal Tengku Zahran tegas. Senyuman masih belum terukir di bibirnya. Wajah Tengku Zahran kelihatan tak ubah seperti singa lapar yang hendak membaham mangsanya.

Ain bengang. Orang tanya pun nak marah. Macam bagus sangat, desis hatinya. Sinisnya kata-kata Tengku Zahran menikam hingga ke ulu hati. Kenapalah lelaki ini selalu tidak berperasaan? Nasib baiklah aku tak ada penyakit gastrik. Kalau tak mahu dua kali sakit jadinya. Dan sakit yang paling utama ialah sakit hati.

“Oh, okay! Saya ambik barang kejap”. Ain membuka laci meja dan mengambil beg tangannya. Pantas saja beg tangan itu digalas di bahu kanannya. Dia sedar yang dia kini sedang menerima arahan daripada seorang majikan. Soal perasaan haruslah ditolak ke tepi. Pelbagai persoalan yang mengasak mindanya sebentar tadi harus dilupakan buat seketika. Sekarang bukan masanya untuk memikirkan perkara yang bukan-bukan. Fokus utama haruslah kembali kepada soal kerja. Surat perjanjian yang telah siap itu dimasukkan ke dalam fail. Fail itu kemudiannya dibawa bersama buku catatannya. Mereka kemudiannya beriringan meninggalkan bilik itu.

“Lin, saya dan Ain nak jumpa klien kejap lagi. Ada urgent discussion. Kami tak masuk ofis dah lepas ni. So, tolong batalkan semua appointment saya untuk hari ini”. Tegas Tengku Zahran memberi arahan sebaik saja tiba di hadapan meja Norazlin. Ain membuntang mata. Terkejut mendengar arahan yang diberikan. Tak masuk ofis? Dia nak ke mana sebenarnya? Takkan nak jumpa klien sampai sehari suntuk tak masuk ofis. Istimewa sangatkah klien itu sampaikan kami kena luang masa sehari bersamanya. Wah, macam manalah agaknya berdepan dengan klien sehari suntuk? Agaknya bagai dewi dari kayangan kut sampai kena layan sehari suntuk bagai. Pasti akan kebas seluruh wajahku kerana terpaksa mengukir senyuman sepanjang hari. Oh, tidak! Seksanya.

“Macam mana meeting Encik Zahran dengan bos besar dan Encik Zahrin nanti?”. Soal Norazlin inginkan kepastian. Tiada masalah baginya untuk membatalkan semua temujanji Tengku Zahran kecuali yang melibatkan bos besar, Tengku Zawawi Darwisy.

“Bagitau je meeting postpone kat bos besar. Saya ada hal mustahak. Tak nak diganggu”. Tutur Tengku Zahran dengan riak selamba. Ain tersentak mendengar jawapan Tengku Zahran. Amboi, besarnya lesen! Siapa yang lebih bos sebenarnya kat ofis ni? Pandai-pandai je nak cancel meeting dengan bos besar. Dah tu mengada-ngada pulak tak nak diganggu. Bertuah punya anak.

Wajah Ain mula diserbu rasa panas. Malu pula dia melihat Norazlin tersenyum manis memandangnya. Di hati dia berdoa semoga Norazlin tidak menaruh syak wasangka buruk terhadapnya. Sungguh dia tidak tahu menahu mengenai temu janji kali ini. Dia hanya menurut arahan Tengku Zahran kerana dia adalah pekerja sama seperti Norazlin dan yang lain.

“Baik Encik Zahran”. Angguk Norazlin. Walaupun tegas arahan yang diberikan, Norazlin tetap kelihatan tenang. Ternyata Norazlin sudah biasa melayan karenah bos yang anginnya sukar untuk dijangka. Kiranya ribut taufan datang tak bagi salamlah ni. kalau hari-hari macam ni, mau pendek umur dibuatnya. Tapi tengok Kak Lin okay je! Agaknya betul la kata pujangga, alah bisa tegal biasa..

Ain memandang ke segenap ruang pejabat itu. Semua kakitangan yang ada di situ kelihatan sibuk dengan hal dan tugas masing-masing. Tiada sepasang mata pun yang memandang ke arah mereka. Walhal bukan mereka tidak boleh mendengar arahan yang telah diberikan oleh Tengku Zahran kepada Norazlin. Ain tahu mereka semua hanyalah berpura-pura. Bukannya Ain tak kenal mereka semua. Kalau macam nilah reaksi mereka, kira dahsyat jugalah penangan Tengku Zahran. Sampaikan semua staf boleh tunduk seperti orang terkena guna-guna. Apa yang membuatkan mereka ni takut sangat? Takut dibuang kerja agaknya. Emm..itulah kelebihan orang banyak duit dan ada kuasa. Segalanya ikut kehendak mereka saja.







1 comment: