Saturday 28 September 2013

AIN FARAH INSYIRAH Aku Punya!!! Bab 18


Sudah lebih lima belas minit Tengku Zahran dan Ain duduk di meja salah satu rangkaian Cafe  Secret Recipe yang terletak di Kepala Batas itu. Namun masing-masing diam membisu tanpa sebarang kata. Suasana premis yang lengang memberi ruang yang cukup privacy buat mereka berdua. Ditambah pula dengan kedudukan tempat duduk mereka yang agak tersorok membuatkan Tengku Zahran dan Ain tak ubah seperti pasangan kekasih yang sedang bercinta.

Bercinta? Iyalah tu. Bercintalah sangat. Macam nak berperang adalah. Tengok muka orang tu pun dah mengalahkan buah pelam yang tak masak. Ada gaya macam orang tengah berdating ke gini? Entahlah. Yang pasti Ain tidak pernah merasai istilah ‘berdating’ itu dalam erti kata yang sebenar.   

Ain kebingungan dan tertanya-tanya, bilakah ‘klien misteri’ yang akan bersama mereka sepanjang hari itu akan muncul? Siapakah klien yang dimaksudkan? Lelaki atau perempuan?

Ain memandang Tengku Zahran yang hanya duduk berpeluk tubuh tidak berkutik. Tajam pandangan mata Tengku Zahran membuatkan Ain mula resah dan gelisah. Apahal dengan Tengku Zahran ni? Pandang orang macam nak telan hidup-hidup. Taulah aku ada buat salah sebab menyibuk ambik tahu hal dia tadi tapi janganlah marah. Aku ada di situ pun kebetulan je. Dah alang-alang kebetulan tu tumpang sharelah sama. Hihihi..memang padan pun kena marah. Siapa suruh cari pasal?

Ish, tak boleh jadi ni. Kalau terus dibiarkan begini, silap haribulan sampai kedai ni tutup pun mereka akan terus menyepi.

“Encik, mana dia klien..”

“Kita takkan jumpa klien hari ni”. Belum pun sempat Ain menghabiskan kata-katanya, Tengku Zahran sudah pun mencelah.

“Hah!? Maksud Encik?”. Ain terlopong. Bulat matanya memandang Tengku Zahran. Biar betul mamat ni. Habis yang mereka duduk kat sini buat apa? Dah tu time berkerja pulak tu? Sedapnya melepak kat sini sedangkan kat ofis berlambak-lambak lagi kerja yang perlu disiapkan. Buang tabiat ke apa mamat ni? Ain semakin kebingungan. Berkerut dahinya memandang Tengku Zahran. Tengku Zahran membisu.

“Encik..”

I need a break Ain”. Kedengaran sayu suara Tengku Zahran menyentuh tangkai hati gadis di hadapannya. Kedua sikunya diletakkan di atas meja. Dia meraup wajahnya dan kemudian kedua belah tangan itu dibiarkan lama terletak di kepalanya.

Ain terkedu. Seperti tidak percaya mendengar sebaris kata yang telah diungkapkan oleh Tengku Zahran. Melihat Tengku Zahran hanya tunduk menongkat kepalanya membuatkan Ain berfikir sejenak. Berfikir mengenai cerita klien rekaan, hal mustahak dan kisah tak nak diganggu bos besar oleh Tengku Zahran. Bukan main beria benar Tengku Zahran bercakap di hadapan Norazlin tadi hingga membuatkan Ain juga hampir percaya tentang kisah klien rekaan itu. Siapa tahu klien yang dimaksudkan itu tidak wujud sebenarnya. Satu pembohongan yang langsung tidak dijangka. Tapi Ain tak salahkan Tengku Zahran kalau memang benar Tengku Zahran memerlukan ruang dan waktu untuk bersendirian. Bersendirian? Habis tu kenapa aku ada di sini? Mungkin dia memerlukan teman bicara agaknya? Takpelah aku sedia menjadi peneman kerana aku adalah seorang pendengar yang baik. Cheewah, sempat lagi masuk bakul angkat sendiri!

Simpati Ain mula tertumpah terhadap Tengku Zahran. Kasihan dia melihat wajah tegang itu buat pertama kalinya. Sekali pandang macam orang putus cinta je. Dua kali pandang macam orang kematian bini pun ada. Ain tahu dan yakin memang tak ada sebab lain yang membuatkan Tengku Zahran jadi begini. Kalau tak mana mungkin Tengku Zahran kelihatan seteruk ini. 

Mungkinkah Elina pernah melukakan dan menghancurkan hati Tengku Zahran. Sebab itulah Tengku Zahran berang bila gadis itu muncul semula. Andainya sangkakan Ain benar belaka, Elina memanglah gadis yang kurang bijak orangnya. Tidak tahu menghargai lelaki sebaik Tengku Zahran. Lelaki yang cukup lengkap pakejnya. Apa lagi yang kurangnya? Apa? Apa? Wah bertalu-talu pulak soalan cik hati macam budak sekolah buat persembahan bicara berirama. Ish, orang tengah sedih, cik hati aku melalut-lalut pulak. Ada jugak orang yang nak kena sedas dua ni nanti  Entahlah. Adakalanya manusia tidak pernah bersyukur dengan apa yang telah dimiliki. Inilah lumrah dunia.    

“Kalau macam tu kita order apa-apa dululah ye. Encik Zahran nak minum apa?”. Tengku Zahran tersentak. Matanya memandang tepat ke arah Ain. Seperti tidak percaya melihat tiada reaksi marah atau tidak senang di wajah Ain. Bukankah dia telah pun terkasar dengan gadis itu tadi?  Kenapa dia langsung tidak menyimpan perasaan marah terhadapku?    

“Apa-apa jelah”. Jawab Tengku Zahran acuh tak acuh. Dalam keadaan otak yang tengah berserabut, makan dan minum bukanlah agenda utama dia datang ke mari.

Kerenah Elina, kisah Farah dan kemarahannya yang telah dilepaskan terhadap Ain membuatkan Tengku Zahran jadi serba tak kena. Kesal, bingung dan serba salah bercampur baur. Dia sememangnya ingin menjelaskan kejadian yang telah berlaku di pejabat tadi kepada Ain. Tapi dia sendiri tidak tahu bagaimana nak memulakannya? Tengku Zahran akui, bercakap dan berbincang mengenai isu perniagaan tidaklah sesukar isu yang berkaitan dengan hati dan perasaan. Kerana Tengku Zahran bukanlah jenis lelaki yang pandai sangat nak mengayat. Sebab tu walaupun dikurniakan pakej lengkap seorang lelaki yang menjadi dambaan wanita, dia tetap mendapat gelaran Mr. Stone sewaktu di universiti dulu. Tak patut betul gelaran yang diberikan.          

“Saya order hot chocolate untuk encik nak tak? Kalau encik nak tahu, kajian telah membuktikan chocolate boleh mengurangkan stress. Masalah stress ni tak boleh dibiarkan tau. kalau dibiarkan takut nanti makan diri”. Ain memulakan peranannya seperti seorang pakar psikiatri. Macamlah Tengku Zahran mengalami masalah gangguan mental atau masalah kemurungan yang serius.

Tengku Zahran sekali lagi tersentak. Terdiam memikirkan kata-kata Ain. Dahinya berkerut. Apa maknanya tu? Bunyinya seperti dia mengambil berat tentang diriku. Betul ke dia memang mengambil berat? Atau aku yang perasan diambil berat?  

“Tak kisahlah nak order apa pun. Janji boleh minum”. Jawab Tengku Zahran bersahaja. Walaupun di hatinya terdetik rasa pelik dengan kebaikan yang Ain tunjukkan. Kenapa Ain nampak baik sangat? Ada udang disebalik batu ke? Ah, tak mungkin! Jangan fikir yang bukan-bukan Zahran. Tak baik berburuk sangka dengan orang macam tu. Orang dah buat baik. Layan ajelah. Kali ini biarlah Ain memilih menu untuk mereka berdua. Tengku Zahran ingin melihat sejauh mana Ain mengambil berat tentang dirinya. 

“Okey”. Ain tersenyum lebar lalu memanggil pelayan di premis itu. Tengku Zahran menelan air liur kelat. Melihat senyuman manis itu membuatkan jantungnya berdetup detap.

Miss, saya nak dua hot chocolates, satu slice chocolate indulgence cake dan satu slice tiramisu cake”. Ain membuat pesanan.

“Ada apa-apa lagi cik nak tambah?”. Soal pelayan itu setelah mengulangi pesanan yang telah diberikan.

“Dua mushroom soup”. Ain tersenyum manis. Wah, macam-macam nak makan ni! Semuanya berasaskan cokelat kecuali mushroom soup.  Yeah, I like. Jangan ada yang gelong lepas ni sudahlah!

Tengku Zahran hanya diam memerhati Ain berurusan dengan pelayan kecil molek itu. Seronok pula rasanya melihat Ain membuat pesanan untuk mereka berdua. Tak kisahlah Ain nak order apa pun. Tengku Zahran pasti tiada masalah untuk menjamahnya. Kerana dia bukanlah jenis orang yang cerewet mengenai soal makan dan minum. Asalkan halal dan tak pelik rupanya, Tengku Zahran pasti boleh menelannya. Sedap tak sedap belakang kira. Kalau sedap makan banyak pun takpe. Tak sedap makan sikit ajelah. Lagipun setakat menu kek dan mushroom soup yang ada di premis itu, dia sudah pun biasa menikmatinya. Cuma hot chocolate belum lagi pernah dicuba kerana dia bukannya penggemar minuman itu.

“Ada nak tambah lagi ke?”. Pelayan itu memohon kepastian. Ain menggeleng. Gadis itu tersenyum lalu pergi meninggalkan mereka.

“Encik selalu datang ke tempat ni ke?”. Soal Ain sebaik saja pelayan itu berlalu pergi. Rasanya dia perlu banyak bertanya untuk menghidupkan suasana. Dan dalam masa yang sama dia perlu membantu Tengku Zahran untuk melupakan stress yang telah dialaminya. Wah, baik punya kaunselor tak berbayar ni!

“Selalu jugaklah tapi takdelah kerap sangat”.

“Encik datang dengan siapa?”. Soal Ain spontan tanpa diduga. Arrghh, bodohnya soalan. Apalah sibuk sangat nak tanya orang datang dengan siapa? Suka hati dialah nak datang dengan siapa pun.

“Dengan awek sayalah”. Jawab Tengku Zahran selamba. Saja nak mengusik gadis yang sudah bertukar wajah kemerahan di hadapannya. Ikutkan hati, ingin saja dia ketawa semahunya melihat wajah Ain yang sudah hilang gaya. Tapi sengaja ditahan kerana dia tidak mahu merosakkan mood gadis itu.

“Hah?”. Buntang mata Ain memandang Tengku Zahran. Biar betul mamat ni? Dia dah berpunya ke? Atau sekadar teman untuk berseronok je? Kalau dia dah berpunya, tak naklah aku menghabiskan waktu di sini bersamanya. Buang masa je. Nanti tak pasal-pasal ada juga orang yang mengamuk kerana cemburu ni nanti. Eiii..tolonglah! tak kuasa aku nak bergaduh kerana seorang lelaki yang jelas tak ada kena mengena dengan aku. Balik jelah. Ain berdiri dan mengambil beg tangannya yang ada di sisi.

“Eh, awak nak ke mana tu?”. Tengku Zahran mula panik.

“Saya nak balik ke ofis. Saya tak naklah duduk kat sini. Nanti tak pasal-pasal ada juga orang jealous kalau nampak saya dan encik berdua kat sini”. Tak pasal-pasal ada jugak yang bertelur di dahi nanti. Tak pun ada adegan tarik tudung macam dalam drama petang-petang nanti.

“Eh, janganlah. Duduklah dulu. I will explain okay. please”. Pujuk Tengku Zahran. Dia tidak mahu Ain pergi meninggalkannnya. Tika ini, dia benar-benar memerlukan Ain di sampingnya. Dia langsung tidak menyangka jawapan yang diberikan membuatkan Ain bertindak begitu. Tengku Zahran dan Ain saling berpandangan. Melihat wajah Tengku Zahran penuh mengharap membuatkan Ain rasa bersalah. Sepatutnya dia cuba memahami situasi Tengku Zahran ketika ini. Bukannya bertindak mengikut perasaan sendiri. Lagipun selama dia bekerja, Tengku Zahranlah orang yang bertanggungjawab mengambil dan menghantarnya pulang ke rumah. Perlahan-lahan Ain duduk semula.   

Thanks a lot”. Ucap Tengku Zahran. Ain mengukir senyuman. Aku akan cuba untuk menjadi peneman dan pendengar yang baik, desis hati Ain.

“Saya takde awek Ain. Kalau ada saya takkan keluar dengan Ain. Ain tau kenapa?...Sebab saya akan sentiasa jujur dengan orang yang saya sayang”.  Tutur Tengku Zahran berjeda.  Ain terkedu buat seketika. Seperti tidak percaya mendengar bait-bait kata yang telah diungkapkan. Ish, takkan aku orang yang Encik Zahran sayang. Jangan nak beranganlah.

“Iyelah tu..”. Ain buat muka seperti tidak percaya dengan apa yang telah dikatakan. Padahal hakikatnya dia rasa seperti hendak pitam mendengar ungkapan itu sebenarnya. Giler mamat poyo ni. Sekali buka mulut, jiwang habis. Nasib baiklah aku tak berguling-guling mendengar ayat power itu.

“No. I’m serious Ain. Really..really serious”. Ucap Tengku Zahran bersungguh. Dia benar-benar mengharap Ain bisa memahami maksudnya.

“Encik datang dengan siapa?”. Ain cuba mengawal keadaan. Tidak mahu kelihatan gabra di hadapan Tengku Zahran. Walaupun di hatinya hanya Tuhan saja yang tahu. Boleh luruh jantung dibuatnya.

“Saya datang dengan adik saya. Dia memang hantu kek. Suka sangat makan kek kat sini. Semua kek kat sini dah habis dia cuba. Lagi satu lagsane. Tu pun dia suka sangat makan kat sini”. Terang Tengku Zahran panjang lebar.

“Adik encik lelaki ke perempuan?”. Soal Ain ingin tahu.  Kalau perempuan seronoknya. Boleh berkenalan. Boleh jadi geng sebab Ain pun suka makan kek dan lagsane kat sini.

Same as you”. 

“Wahhhh, seronoknya! Bolehlah nanti saya berkenalan tapi..kenapa encik tak pernah pun bagitau saya yang encik ada adik perempuan sebelum ni?”.

“Dah Ain tak pernah tanya”.

“Nak tanya apa? Takkan saya nak menyibuk tanya semua pasal keluarga encik. Tanya adik lepas tu mak ayah, lepas tu tok wan tok nek macam orang nak merisik. Buat malu je”. Marah Ain manja. Tengku Zahran tergelak kecil. 

Okay, okay! Sorry, sorry! Lepas ni saya janji Ain akan tahu lebih banyak mengenai saya dan keluarga saya“. Ain terpaku. Janji itu membuatkan akalnya mati serta merta. Wajahnya pantas diserbu rasa panas. Nasib baiklah tika dan saat itu pelayan tadi datang semula membawa menu yang telah diminta. Fuhh, lega! 

“Mana satu kek untuk saya?”. Soal Tengku Zahran. Ain mengambil camca kek yang diletakkan di setiap piring kek dan menyerahkan satu kepada Tengku zahran. Tengku Zahran terkesima. Sepasang mata yang cantik milik Ain ditenung agak lama. Seketika pandangan mereka bertaut. Ain terkedu. Panahan mata Tengku Zahran bagai menikam tembus hingga ke jantung. Nampak gayanya cik jantung mengalami tekanan yang cukup hebat hari ini. Kasihan cik jantungku!

Kek ni kita sharelah ye. Pakat rasalah seorang sikit. Kek nikan rasanya lain-lain. Makan serba sikit boleh rasa dua-dua”. Tutur Ain cuba berlagak selamba. Kali ini Tengku Zahran pula yang terkedu. Sepertinya dia sedang bermimpi mendengar perkataan share keluar dari mulut comel gadis itu. Sedetik ingatan terhadap Farah bertamu di mindanya. Ain tak ubah seperti Farah. Suka berkongsi makanan dengannya. Setiap kali Tengku Zahran keluar makan dengan arwah Farah dulu, Semua makanan akan dikongsi bersama. Dah tu minta pula macam-macam. Sudahnya nanti Tengku Zahranlah yang akan menjadi mangsa untuk menghabiskannya.

Kini kisah lama berulang kembali. Bersama insan yang berbeza dengan raut wajah yang serupa. Lembutnya bicara Ain menyusuk ke dasar hati. Bagaikan kelihatan sekumpulan rama-rama berterbangan mengelilingi mereka berdua. Dalam hati ada taman! Apa maknanya perasaan ini? Tengku Zahran tidak tahu. Hanya bibirnya mampu mengukir senyuman.

“Hah, senyum pun! Kan manis kalau encik selalu tersenyum. Dah, jom kita makan! Lepas ni Ain bawa Encik Zahran pergi melawat ke satu tempat”. Senyuman manis terukir di bibir Ain.  Senyuman yang membuatkan degup jantung Tengku Zahran menjadi semakin tidak menentu.

“Tempat apa?” Tengku Zahran ingin tahu. Berkerut dahinya memandang Ain.

‘Tempat untuk release tension versi Ain Farah. Dah makan cepat”. Ain memberi arahan. Bukan senang nak mengarahkan CEO di hadapannya itu.

“Saya nak Ain tolong suapkan boleh”. Usik Tengku Zahran.

“Banyak cantik muka encik. Makanlah sendiri. Dah besar pun nak orang suap lagi”. Ain sudah betukar ke mood asalnya. Seperti stesen radio bertukar siarannya. Hilang lenyap kelembutan bicaranya sebentar tadi. Tengku Zahran ketawa. Kan dah kata, kalau tak kena gaya, mesti anginnya cepat naik ke kepala. Nak ke mana agaknya dia nak bawa aku ni? Ikut jelah. Janji aku boleh menghabiskan masa bersamanya hari ini.

“Ain..”.

“Emm..”

“Boleh saya tanya sesuatu?”

“Apa dia?”

“Ain pernah tak berkongsi makanan seperti ni dengan orang lain?”

“Berkongsi dengan perempuan selalu. Dengan lelaki tak pernah”. Jawab Ain jujur dengan riak selamba. Seketika dia terdiam. Memikirkan semula jawapan yang telah diberikan. Memang benar dia tidak pernah berkongsi makanan dengan mana-mana lelaki sebelum ni kecuali Tengku Zahran. Tak usahlah ditanya kenapa dan mengapa dia berkongsi dengan Tengku Zahran? Kerana tidak semua persoalan itu ada jawapannya.

Tengku Zahran tersenyum puas. Cukuplah. Dia tidak mahu bertanya apa-apa lagi. Mendengar pengakuan Ain sudah cukup melegakan hatinya. Sekarang dia hanya ingin menikmati menu yang cukup ringkas itu bersama Ain Farah.  

2 comments: