Sunday 15 September 2013

AIN FARAH INSYIRAH Aku Punya!!! Bab 14


“Assalamualaikum mak..cik”. Tengku Zahran terus bersalaman dengan Puan Azmah sebaik saja dia menghampiri wanita itu di muka pintu. Wajah wanita itu ditatap sejenak. Ada kerinduan menyerbu masuk ke seluruh ruang tubuhnya. Inilah pertama kali Tengku Zahran melihat wajah ibu mertuanya. Wajah yang seakan menyerupai kedua anak kembarnya. Tiba-tiba Tengku Zahran teringatkan arwah Farah Insyirah. Kalaulah Farah berpeluang berjumpa dengan ibunya, tentulah dia orang yang paling bahagia dan gembira. Dulu sewaktu arwah Farah masih hidup, dia sering menyatakan perasaan rindu untuk bertemu ibunya. Hasrat untuk menemui ibunya semakin menggebu di penghujung usianya. Farah pernah meminta kepada Tengku Zahran untuk mencari ibunya walau dengan apa-apa cara sekalipun.

Demi orang yang dikasihi dan dicintai, Tengku Zahran pernah berjanji untuk memenuhi impian Farah. Namun tiada siapa mampu menghalang takdir dan ketentuan Ilahi. Farah telah pergi meninggalkan mereka semua sebelum impiannya tercapai. Semenjak pemergian Farah, Tengku Zahran tidak pernah putus berusaha dan berdoa, agar dia berjaya dipertemukan dengan ibu mertuanya.

Alhamdulillah, hari ini Tengku Zahran dipertemukan dengan wanita itu. Ya Allah, terima kasih kerana telah memberi aku kesempatan ini. Sayangku Farah..abang telah pun menemui mama. Mama cantik macam sayang jugak. Abang tak sangka, sayang mewarisi kecantikan mama. Sungguh abang terharu dengan keindahan yang telah Allah berikan, desis hati Tengku Zahran.

“Waalaikumsalam”. Puan Azmah teragak-agak menyambut salam yang dihulurkan. Ikutkan hati memang dia tidak mahu menyambut salam yang dihulurkan itu. Bukan kerana dia tidak suka akan kehadiran Tengku Zahran tetapi kerana hukum yang membataskan hubungan lelaki dan perempuan yang bukan muhrim. Namun demi menjaga air muka Tengku Zahran dia menyambut jua salam yang dihulurkan.

Tengku Zahran tersenyum memandang Puan Azmah. Dia dapat membaca apa yang sedang bermain di fikiran bekas ibu mertuanya itu. Dia tahu Puan Azmah keberatan menyambut tangan yang telah dihulurkan. Namun dia tidak menyalahkan Puan Azmah kerana wanita itu tidak tahu Tengku Zahran pernah menjadi menantunya. Puan Azmah telah pun menjadi ibu kepada Tengku Zahran sebaik saja dia menikahi Farah insyirah. Meskipun Farah Insyirah kini sudah tiada. Hubungan Tengku Zahran dan Puan Azmah akan terus berkekalan sebagai ibu dan anak sepanjang hayat. Kerana mengikut hukum islam, seorang bekas menantu tidak boleh sesekali atau dalam erti kata lain haram menikahi bekas ibu mertuanya.   

“Anak ni..”.

“Mama..kenalkan ni bos Ain. Tengku Zahran Darwisy”

“Encik Zahran..nilah mama Ain. Cantikkan. Macam anaknya jugak”. Ain berdiri rapat dan memeluk ibunya dengan sebelah tangan. Wajahnya dirapatkan ke wajah ibunya untuk tujuan perbandingan.

“Yup..memang cantik tapi mamanya jelah. Anaknya emm…kurang sikit”. Usik Tengku Zahran. Ain membuntangkan matanya.

“Apa? Kata kita tak cantik”. Ain buat muka geram dan sudah bercekak pinggang. Tengku Zahran ketawa.

“Ish..kamu ni Ain. Tak senonoh betul”. Puan Azmah mencubit peha kiri Ain. Malu Puan Azmah mendengar pujian daripada majikan anaknya.

Tengku Zahran ketawa lagi. Seronok melihat kenakalan Ain. Tengku Zahran dapat merasa ada keserasian antara dia dan Ain. Walaupun baru sehari mengenali gadis itu, Tengku Zahran akui dia cukup selesa. Sikap Ain yang bersahaja membuatkan mereka seperti sudah lama mengenali antara satu sama lain. Kalaulah Ain seperti Farah yang lemah lembut dan agak pemalu, sudah tentu dia takkan dapat mendekati Ain dalam waktu yang singkat ini.

“Adoii, sakitlah mama”. Ain menggosok pehanya yang telah dicubit. Dahsyat jugak mama ni. Kut iye pun nak buat kita, bagilah sepit anak ketam je. Tak payahlah guna sepit ketam batu. Sakitlah.
 
Actually..you are so beautiful like you mom”.Tengku Zahran memandang Ain sambil tersenyum manis. Tajam pandangannya menikam hingga ke jantung. Ain terkedu. Nafasnya bagaikan terhenti seketika. Rasanya setakat ini dia tidak mengalami masalah pendengaran. Dia cukup faham dengan apa yang dikatakan. Inilah padahnya bila orang suka sangat nak main. Nak orang puji sangat. Dah dipuji. Sudahnya termalu sendiri.

Puan Azmah terpinga-pinga. Perkataan orang putih tak usah ditanya. Setakat thank you, bye-bye dan I love you, Puan Azmah memang tahu. Selebihnya..mama tak retilah jawabnya. Tapi Puan Azmah dapat merasakan, ada sesuatu disebalik kata-kata itu. Kalau tak..takkan anak gadisnya terus terdiam. Puan Azmah tersenyum sendiri. Ada-ada saja budak-budak ni, desis hatinya.   

“Err..Tengku Zahran masuklah dulu”. Pelawa Puan Azmah.

“Eh..tak payah berTengku-Tengku dengan saya makcik. Panggil Zahran cukup. Takpelah makcik. Dah nak Maghrib dah ni. Saya balik dululah ye. Ni saya nak hantar Ain je. Esok pagi saya nak minta izin makcik untuk jemput Ain pergi kerja boleh?”. Ain terlopong.

“Siapa nak ikut awak? Wekk..tak malu!”. Ain menjegilkan matanya. Tengku Zahran tergelak. Puan Azmah mencubit lagi peha kanan anakya.

“Aduiiii..mama..sakitlah”. Ain menggosok pehanya lagi. Rasanya lebam jugak pahanya kali ini.

“Ain, sopan sikit boleh tak? Tak senonoh betul”. Puan Azmah memperlahankan suaranya seperti orang berbisik.

“Maaflah Zahran. Ain ni memang macam ni. Dah besar pun macam budak-budak!”. Ain membuntang mata memandang wajah Puan Azmah. Mama kata aku budak-budak? Sampai hati mama. Buat malu je!

Takpelah makcik. Saya tak kisah. Saya balik dululah ye. Esok saya datang jemput Ain”

“Eh tak menyusahkan Zahran ke?”

“Apa pulak susahnya makcik. Dah kebetulan saya pun lalu kat jalan yang sama. Lagipun susah nak dapat bas kat sini awal-awal pagi. Sementara Ain takde kereta lagi. Biarlah Ain pergi sekali dengan saya”. Tengku Zahran mengukir senyuman lagi. Aduh, seksanya melihat senyuman itu. Lebih terseksa dengan sikap berani Tengku Zahran. Mamat ni memang gila tahap gaban!

“Kalau macam tu, terima kasih banyak-banyaklah sebab dah susah payah tolong hantar dan ambik Ain”. Puan Azmah tersenyum memandang Tengku Zahran. Ain tersentak. Bulat matanya memandang Puan Azmah. Tidak setuju sama sekali mama memberi izin Tengku Zahran menghantar dan menjemputnya. Macamlah dia tidak boleh berdikari sendiri.

“Ain..esok saya datang jemput Ain ye”. Ain menjegilkan matanya ke arah Tengku Zahran. Geram dengan sikap Tengku Zahran yang suka memandai-mandai. Tengku Zahran tergelak kecil. Bukan dia tidak faham akan isyarat mata itu tapi saja dia buat tak tahu. Biarlah Ain nak fikir apapun tentang tindakannya. Tengku Zahran yakin lama-kelamaan nanti Ain akan faham.

“Makcik, saya pergi dulu. Assalamualaikum”. Tengku Zahran bersalaman dengan Puan Azmah.

“Waalaikumsalam. Hati-hati memandu ya. Bawa kereta tu elok-elok”. Pesan Puan Azmah menyerlahkan sifat keibuannya.

“A’ah..jangan sampai langgar belakang kereta orang pulak”. Perli Ain sambil tersenyum sinis. Puan Azmah sudah menjegilkan mata. Tidak senang dengan sikap kurang sopan anaknya. Dia faham benar dengan sikap Ain yang suka bercakap ikut sedap mulutnya. Bercakap dulu, fikirnya kemudian. Itulah racun pengarang jantungnya.

“Ain..”. Suara Puan Azmah sudah naik satu oktaf.

Ain hanya tersenyum sumbing melihat wajah mama yang kurang senang dengan sikapnya. Tengku Zahran menjeling sambil tersenyum ke arah Ain. Nakal betul!

4 comments:

  1. bila nk smbg lg...dah xsbr nk tggu yg baru..

    ReplyDelete
  2. sabar ye pretty..insyaallah sy akn update lg nanti secepatnya...terima kasih krn sudi mbaca karya saya yg x seberapa ni....sy kini sedang berusaha untuk menyiapkn novel ini sepenuhnya..sy amat amat berharap karya yg x seberapa ini bisa membuatkn pretty dan baby mio terus terhibur...tqvm...luv u all :-)

    ReplyDelete