Wednesday 4 September 2013

AIN FARAH INSYIRAH Aku Punya!!! BAB 8


Sudah lebih dua puluh minit berlalu, bas yang ditunggu masih belum nampak kelibatnya. Ain sudah mulai resah. Sekilas dia memandang jam yang terlekap elok di tangan kirinya. Waktu itu sudah menunjukkan hampir ke pukul 7 pagi.

Alamak, macam mana ni? Kalau tak ada bas memang parahlah aku. Hari pertama bekerja sudah buat hal. Wajib bos akan marah berbakul-bakul. Pasti aku akan dianggap staf yang paling tidak berdisiplin. Suka hati lewat macamlah pejabat itu bapa aku yang punya!  Ain mula membayangkan situasi Tengku Zahran memarahinya.  Manalah dia nak letak muka.

Ain berjalan mundar mandir. Sudah habis gaya dia menunggu. Puas Ain control ayu. Hari ini bukan main lagi dia bergaya. Kebaya moden yang dipakai menyerlahkan susuk tubuhnya yang langsing. Kasut bertumit tinggi yang tersarung di kaki membuatkan penampilannya tak ubah seperti seorang model.  Kakinya sudah terasa lenguh tapi dia tetap mahu terus berdiri. Tak kuasa dia hendak duduk di perhentian bas yang agak kotor itu.

“Stesen bas ni berfungsi ke tidak? Kenapa tak ada satu pun bas yang lalu di sini? Semua pemandu bas dah mogok ke? Bukankah selalunya bas akan lalu di sini? Kenapa hari ini tak ada langsung? Hairan!” Ikutkan hati kalau bas itu sampai nanti, nak saja Ain cabut semua tayar. Biar langsung tak boleh jalan. Ain membebel sendiri.
  
Sebuah kereta ferarri berwarna hitam tiba-tiba berhenti batul-betul di hadapannya. Gadis itu terus terpaku. Fulamak..siapalah gerangan empunya kereta? Mestilah bukan calang-calang orangya.

Ain bukanlah gadis yang terlalu taksub dan terlalu mengejar harta kekayaan. Baginya hidup bersederhana itu lebih baik asalkan bahagia dan gembira. Namun tidak dapat dinafikan, mana-mana perempuan yang melihat kereta ini pasti akan tergoda. Ain juga sama. Cuma kalau kereta itu berwarna merah, pasti dia akan lebih lagi tergoda. Bukan tergoda pada pemiliknya tapi tergoda pada keretanya. Buat pemiliknya kirim salam sajalah. 

Cermin kereta yang gelap itu diturunkan. Kelihatan wajah Tengku Zahran mengukir senyuman. Membuatkan Ain rasa hampir nak pengsan.

“Ain buat apa kat sini?”. Soal Tengku Zahran dari dalam keretanya. Kelihatan segak lelaki itu memakai kemeja berwarna hitam dengan tali leher berwarna merah hati. Amboi, serba hitam nampak! Baju hitam. Kereta pun hitam. Macam nak berkabung pun ada. Nasib baiklah kulitnya cerah. Kalau tak, macam muffin coklatlah rupanya. Tu kalau ikut warna kulit versi terkini. Kalau ikut warna kulit versi tradisional zaman dahulu, sebiji macam peneramlah jawabnya.

“Tangkap gambar”. Jawab Ain selamba. Saja nak kenakan lelaki di hadapannya. Sudah gaharu cendana pula.  Dah orang berdiri kat sini, tentulah tengah tunggu bas. Takkan nak shooting buat drama.
Tengku Zahran tergelak kecil. Pagi-pagi lagi dia sudah mendengar lawak gadis itu.

“Tunggu bas ke?”. Soalan kurang cerdik ditujukan.

“Tak. Kapal terbang”. Tengku Zahran ketawa lagi. Gadis ini memang menghiburkan. Boleh pulak dia selamba dengan majikan. Memang tak makan saman.

“Jom ikut saya. Saya tak suka kalau staf saya lambat masuk kerja”. Tengku Zahran sudah mula memberi arahan.

Ain menurut dengan rasa gembira. Lebih baik ikut bos daripada membiarkan diri terlewat sampai di tempat kerja.  Lagipun Ain sudah tidak larat menunggu.  Penantian itu satu penyeksaan!

 

Kereta Ferrari hitam itu bergerak pantas menyusur dan mencelah di tengah jalan raya. Sesuai dengan jenamanya, bagaikan lipas kudung si pemilik memandunya. Mungkin dia menganggap jalan raya itu ialah litar lumbanya? Patutlah semalam cepat saja dia tiba di ofisnya. Kalau begini cara pemanduan, Ain tidak hairan. Agak-agak berapa banyak saman yang dia kena bayar sebulan? Beribu ringgit rasanya?
“Kenapa Ain tak bawa kereta sendiri? Kenapa nak naik bas?”. Tengku Zahran mula memecah kesunyian.

“Saya mana ada kereta Encik. Mana ada duit nak beli. Kerja pun baru nak mula”. Ain menoleh ke sisi memandang wajah Tengku Zahran. Lelaki ini kelihatan bertambah kacak dengan penampilannya hari ini. Semalam bukannya tak kacak, tapi hari ini nampak lebih lagi. Wajah Tengku Zahran tampak cerah dan bersih. Tiada satu pun jerawat yang kelihatan. Air mukanya pula nampak tenang dan jernih. Memang sesuai sangatlah kalau nak dilantik menjadi duta model pencuci muka berjenama. 

Ain terus memandang si pemilik wajah itu. Inilah kali pertama dia dapat melihat wajah itu dari jarak yang dekat. Semalam bukan dia tak pandang. Pandang tapi tak adalah sampai nak membelek sangat, sebab lelaki itu terlalu sibuk memerhatikannya. Hari ini biar giliran dia pula. Awak bawa kereta elok-elok. Jangan sondol belakang kereta orang sudahlah. Kata hati Ain berbicara. Boleh tahan jugalah Tengku Zahran ni. Ada rupa dan ada gaya. Tidak hairanlah jika ramai perempuan yang telah tergoda dengan ketampanan lelaki ini. 

“Habis kereta kembara tu..?”. Tengku Zahran menoleh seketika dengan kerut di dahi. Ain tersentak. Bibir Tengku Zahran pantas mengukir senyuman. Bukan dia tidak tahu gadis itu sedang meneliti segenap inci ruang wajahnya. Biarlah. Asalkan dia bahagia!

“Err, tu kereta Kak Mahani, isteri Abang Zack. Kemarin saya guna kereta tu sebab saya tolong hantar Mia ke sekolah. Hari ni saya dah tak hantar Mia sebab dah start kerja. So saya tak gunalah”. Seperti biasa Ain lebih suka berterus terang. Dalam masa yang sama Ain cuba berlagak tenang. Senyuman Tengku Zahran membuatkan dia tahu, lelaki itu sedar dirinya diperhatikan. Aduh..malunya! rasa macam nak turun di tepi jalan.

“Bukan ke Ain kata semalam Kak Mahani tu tengah berpantang? Kenapa tak pinjam saja kereta dia tu buat sementara waktu?”. Tengku Zahran sengaja menduga. Ingin mengenali dengan lebih dekat gadis yang sedang duduk disisinya. Sejak bertemu dengan gadis itu semalam. Hatinya sudah terpanggil untuk terus mendekati gadis itu. Bukan kerana paras rupa si gadis yang sememangnya mirip arwah isterinya, tetapi lebih kepada sikap gadis itu yang bersahaja.   

“Tak naklah. Kereta orang tu. Saya tak suka guna harta benda orang kalau tak ada kepentingan. Kalau jadi apa-apa jenuh saya nak kena ganti. Tengok saja semalam, belum apa-apa dah kena hentam dari belakang. Nasib baik tak jadi apa-apa. Kalau tak mana saya nak korek duit nak repair kereta tu?”. Terang Ain panjang lebar. Tengku Zahran mengerling Ain dengan ekor matanya. Meletus tawa kecil dari bibir Tengku Zahran. Jawapan berbaur sindiran itu memang menyentuh tangkai hatinya.

Rasa bersalah mula menyelubungi diri Tengku Zahran. Kalau bukan kerana kecuaiannya, tentu gadis ini tidak akan menghadapi masalah. Tentu gadis ini tidak akan membuang masa menunggu di perhentian bas begitu lama.

“Ain..maafkan saya ye..kerana kecuaian saya awak pulak yang susah”. Tutur Tengku Zahran dengan rasa bersalah yang menggunung. Kalau dia tak tergesa-gesa untuk sampai ke rumah selepas menghantar Tengku Zafirah ke rumah Azreen semalam, semua itu pasti takkan berlaku. Kenapa Tengku Zahran tergesa-gesa? Ini semua kerana seisi temuduga yang telah ditetapkan pada pukul 8.30 pagi semalam. Tengku Zahran tidak mahu terlewat kerana dia cukup mengambil berat soal ketepatan masa. Siapa sangka temuduga itu telah mempertemukan dia dengan Ain Farah. Seorang gadis yang memiliki wajah saling tak tumpah seperti insan yang amat dikasihi dan dicintainya. Insan yang sentiasa dirindui sepanjang hayatnya. Hati Tengku Zahran tersentuh.

“Tak apalah Encik. Perkara dah nak jadi. Nak buat macam mana. Encik jangan risaulah. Think positive. Setiap yang berlaku itu pasti ada hikmahnya” . tutur Ain dengan senyuman penuh yakin dan ceria. Sejak semalam Ain mula rasa ada keserasian antara mereka berdua. Tengku Zahran memandang senyuman itu dengan rasa getaran. Comel sungguh wajah ceria gadis itu. Senyumannya..aduh..pasti akan membuatkan Tengku Zahran gelisah sepanjang hari. Alahailah Ain!
 

No comments:

Post a Comment