Sebaik saja
pintu lif terbuka, Ain, Tengku Zahrin dan beberapa pekerja lain masuk ke
dalamnya. Mereka perlu turun ke tingkat 7 kerana bilik mesyuarat terletak di
tingkat tersebut. Norazlin yang turut ada di dalam lif itu menekan butang 7 dan
butang `close’ untuk menutup pintu.
“Wait..”. Kedengaran satu suara lelaki
dari luar lif. Norazlin menekan semula butang `open’. Tengku Zahran sudah sedia menanti dihadapan pintu. Tengku Zahran
pantas melangkah masuk ke dalam lif sebaik saja pintu terbuka semula. Penggera
berbunyi menandakan isyarat lebih muatan tetapi Tengku Zahran buat tak hairan.
Seolah-olah bukan dia yang menjadi penyebabnya. Ain yang berdiri di sisi Tengku
Zahran terus membuntang mata memandangnya.
“Apa?”. Tengku
Zahran memandang Ain.
“Encik..lif ni
terlebih muatan”. Ain berkata separuh berbisik. Seboleh-bolehnya dia tidak mahu
memalukan Tengku Zahran di hadapan pekerja lain.
“So..”.
“So..memandangkan
enciklah yang paling berat di dalam lif ni..maka Encik kenalah keluar”. Tengku
Zahrin yang mendengar perbualan separuh berbisik itu tergelak kecil. Lucu
mendengar Ain mengenakan Tengku Zahran.
“Tak nak”.
Tengku Zahran tidak mahu mengalah. Ishlah..mamat ni..selfish betul. Perkara kecik pun tak nak beralah. Besaq saja! Loghat Penang mai dah!
“”Encik
nilah..teruk betul”. Ain mencebik. Geram dia melihat wajah selamba Tengku
Zahran. Langsung tidak ada rasa bersalah terhadap semua staf yang terpaksa
menunggu di dalam lif itu. Tiada siapa pun yang berani bersuara. Bertuah punya
bos. Mentang-mentanglah bangunan ini bapa dia yang punya. Suka hati dia saja nak
buat apa!
Ain sudah
berkira-kira untuk melangkah keluar dari lif itu. Biarlah dia yang beralah.
Nanti dia akan mencari jalan untuk sampai ke bilik mesyuarat itu. Kerja explore bukan tak biasa. Kacang aje!
Tiba-tiba tanpa
diduga Tengku Zahran menarik lengan Ain dan membawanya keluar dari dalam lif
itu. Ain terpempan. Segalanya berlaku terlalu pantas. Fikirannya tidak mampu
mentafsir apa-apa kerana terkejut dengan situasi yang telah berlaku. Hanya
kakinya menurut langkah Tengku Zahran.
“Awak semua
pergi dulu. Biar dia ikut saya”. Tengku Zahran memberi arahan kepada semua staf
yang ada di dalam lif itu. Lengan Ain masih tidak dilepaskan. Norazlin
mengangguk. Selebihnya terkebil-kebil melihat adegan yang berlaku. Tengku
Zahrin tersenyum sambil menggeleng kepalanya. Tak habis-habis Angah ni. Macam
budak-budak! Pintu lif tertutup. Pegangan lengan Ain dilepaskan.
“Kenapa encik
tarik saya keluar. Dah tu suka-suka hati aje
pegang tangan orang”. Ain menggosok lengannya yang terasa sakit. Kuat juga
cengkaman tangan Tengku Zahran. Boleh remuk tulang belulang. Geram Ain diperlakukan begitu oleh Tengku
Zahran. Ikutkan hati nak juga buka silat gayung di sini tapi silat tu tak
sempat nak belajar lagi.
“Excuse me..saya tak pegang tangan awak
tapi saya pegang lengan awak. Lengan awak tukan berlapik sebab awak pakai
baju..err baju apa ni”.
“Baju
kebayalah”. Ain menjeling. Tengku Zahran tersenyum nakal.
“Encik ni
mengada-ngadalah. Encik yang menyebabkan lif tu lebih muatan tapi encik tarik
saya keluar sama. Sakit tau lengan saya. Nasib baik tak tercabut”. Tengku
Zahran ketawa. Kata-kata Ain mencuit hatinya. Seronoknya dapat menyakat gadis
itu. Lebih seronok dapat peluang berdua-duaan. Walaupun jauh di sudut hati,
bimbang juga Tengku Zahran kalau Ain mengamuk seperti semalam. Mau kecoh satu
bangunan kalau angin gadis ni dah naik satu badan.
Muka Ain
bertukar warna. Rasa geram dan marah semua ada.
“Awak ni memang
nampak sweetlah kalau marah. Saya suka tengok muka awak kalau marah”. Usik
Tengku Zahran. Ain menjegil matanya. Orang tengah marah dia boleh main-main
pulak! Sweet konon! Ada jugak orang
yang nak kena buku lima! Belum sempat Ain berkata apa-apa, pintu lif telah
terbuka.
“Nah. Ambik ni.
Awak assistant merangkap penasihat
saya mulai hari ini”. Tengku Zahran menyerahkan kesemua dokumen yang ada
ditangannya.
“Hah?”. Ain
terpinga-pinga menyambut dokumen yang diserahkan. Assistant? Biar betul! Inikah jawatan yang ditawarkan untuknya?
Tengku Zahran memang keterlaluan. Suka sangat buat perkara yang bukan-bukan.
Agaknya dia ingin membalas dendam? Kalau memang benar, kenapa dia menghubungi
aku pulak malam semalam? Semata-mata untuk meminta maaf. Ah, dasar lelaki!
Memang tak boleh dipercayai.
Tengku Zahran
menekan butang untuk menghalang pintu lif tertutup.
“Jom masuk”. Arah Tengku Zahran tetapi Ain tidak mahu berganjak. Rasa geram pada lelaki
itu masih ada. Ikutkan hati tak ingin dia beriringan dengan Tengku Zahran. Nak
ajak orang tapi gaya macam nak marah. Baik tak payah!
“Jom masuk”.
Tukas Tengku Zahran.
“Tak nak”. Ain
sudah meniru kata-kata Tengku Zahran sewaktu di dalam lif tadi. Macam orang nak
buat iklan berhenti merokok.
“Kalau awak tak
nak masuk..saya janji kali ni saya akan pegang tangan awak erat-erat sampailah
ke bilik mesyuarat. Biar semua orang dalam bilik mesyuarat tu tengok
termasuklah bos besar kita”. Ain tersentak. Cepat-cepat kakinya melangkah masuk
ke dalam lif. Ain takut kalau Tengku Zahran mengotakan janjinya. Lelaki ini
bukan boleh dikira. Nanti dia buat sesuka hati dia saja.
Tengku Zahran
Tersenyum puas. Tau takut!
No comments:
Post a Comment